Politik Sabah sekali lagi dikejutkan dengan khabar angin bahawa dua anak kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah dijangka turun gelanggang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) ke-17 akan datang.
Perkembangan ini mencetuskan persoalan besar mengenai neutraliti institusi tertinggi negeri dan masa depan politik Sabah yang kini semakin dibelenggu pengaruh keluarga elit.
Sumber politik dalaman mendedahkan Hafes Yamani Musa dijangka bertanding di DUN Sindumin atas tiket PKR. DUN Sindumin merupakan kawasan majoriti pengundi Kedayan dan Brunei. Kini mereka aktif memperhebat gerakan akar umbi dan aktiviti kebajikan.
Hazem Mubarak Musa pula dijangka bertanding di DUN Sungai Manila atas tiket GRS. DUN Sungai Manila merupakan kawasan majoriti campuran Melayu, Bugis dan Dusun. Beliau dikatakan sedang membina pengaruh melalui jaringan tempatan.
Langkah ini bukan sekadar pertarungan dua kerusi DUN. Ia jelas menggambarkan strategi keluarga TYT menempatkan diri dalam dua blok politik utama melalui PKR dan GRS bagi “mengunci pengaruh” dalam apa jua kombinasi kerajaan selepas PRN.
Percaturan ini mengundang masalah besar dalam arena politik TYT.
Di Sindumin, ramai pengundi Kedayan dan Brunei tidak selesa dengan kehadiran calon luar yang dilihat sebagai cubaan “menawan kawasan orang.” Sentimen “biarlah anak tempatan pimpin komuniti sendiri” semakin kuat.
Dalam masa sama, tindakan bertanding atas platform GRS juga dilihat sebagai langkah licik untuk mengukuhkan kedudukan politik keluarga TYT di dalam kerajaan negeri sedia ada.
Gerakan melalui blok kerajaan GRS dan pembangkang PKR dilihat sebagai percaturan klasik politik dinasti. Jika GRS kekal memerintah, anak TYT dalam GRS akan terus mendapat pengaruh. Jika kerajaan bertukar, calon PKR pula boleh jadi “jambatan kuasa”.
Perkara ini tidak semudah yang disangka. Rakyat Sabah bukan lagi penonton pasif. Persepsi bahawa institusi TYT digunakan sebagai “panggung politik keluarga” bakal menjadi senjata tajam pembangkang dan suara rakyat marhaen dalam PRN nanti.
Kehadiran anak TYT dalam jentera GRS dilihat sebagai bukti jelas bahawa gabungan ini tidak lagi berdiri atas kekuatan rakyat, tetapi bergantung kepada kuasa elit untuk kekal relevan.
Strategi ini mungkin nampak licik, tetapi juga berpotensi mencetuskan gelombang penolakan besar-besaran jika rakyat menilai ia sebagai bentuk campur tangan keluarga berpengaruh ke atas sistem demokrasi negeri.
Tambahan pula isu Zara Qairina masih lagi "panas" ketika ini di Sabah. Tindakan meletakkan ahli keluarga TYT sebagai calon hanya mengundang "bencana". Ironinya, mereka gagal melihat perkara ini dari sudut perspektif pengundi Sabah.
Rakyat Sabah mahukan kepimpinan tulen, bukan politik warisan atau kroni elit. PRN Sabah 2025 bukan sekadar soal parti, tetapi ujian kepada integriti sistem demokrasi negeri bagi menentukan sama ada kuasa sebenar terletak di tangan rakyat atau di meja makan keluarga elit politik.

Comments
Post a Comment