Pesuruhjaya PAS Sabah Dibenarkan Membaca Khutbah Jumaat?


Tular di media sosial satu video memaparkan Pesuruhjaya PAS Sabah, Aliakbar Gulasan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik sedang menyampaikan khutbah Jumaat di sebuah masjid di Sabah. Klip berdurasi beberapa minit itu menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan jemaah dan masyarakat Islam negeri ini, bukan sahaja soal tauliah tetapi juga kandungan khutbah yang dikatakan tidak menggunakan teks rasmi dikeluarkan oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS)?

Dalam video yang tersebar, Aliakbar dilihat membaca khutbah dengan menyentuh isu tragedi arwah adik Zara Qairina dari Papar dan arwah Nurly, pelajar UPSI. Isi khutbah yang bersifat peribadi dan emosional itu nyata menyentuh hati ramai, namun dalam masa sama mencetuskan kekeliruan adakah kandungan itu sebahagian daripada teks rasmi MUIS atau dirangka sendiri oleh beliau tanpa kebenaran demi mencari laba politik?


Menurut sumber jemaah yang hadir dilaporkan terpinga-pinga dan berbisik sesama sendiri, mempersoalkan sama ada tindakan Aliakbar itu mematuhi peraturan MUIS yang menetapkan bahawa semua khutbah Jumaat di Sabah mesti menggunakan teks rasmi. Tambahan pula, MUIS hanya memberikan tauliah kepada individu tertentu yang diluluskan sebagai khatib atau imam bertauliah bukan sebarang ADUN atau tokoh politik.

Persoalan pokok kini ialah adakah Aliakbar memiliki tauliah khas daripada MUIS untuk membaca khutbah dan jika ada atas kapasiti apa kebenaran itu diberikan?


Sekiranya tidak, ia menimbulkan implikasi serius terhadap pengurusan institusi agama negeri serta tatasusila penggunaan mimbar masjid yang sepatutnya bebas daripada pengaruh politik kepartian.

Pemerhati agama berpendapat walaupun isi khutbah itu mungkin berniat baik, menyentuh soal moral dan tragedi kemanusiaan namun mimbar Jumaat bukanlah pentas politik meraih perhatian dengan menunggang isu atau ruang bebas berpidato. Ia institusi suci yang terikat kepada peraturan, disiplin agama dan garis panduan MUIS.


Tindakan ini menimbulkan kebimbangan lebih luas bahawa jika tiada kawalan tegas, mana-mana pemimpin politik lain juga boleh menjadikan mimbar masjid sebagai platform pengaruh dengan alasan ingin “menyampaikan tazkirah” atau “khutbah khas”. Akhirnya, fungsi masjid sebagai tempat penyatuan umat boleh terjejas digantikan dengan retorik kepartian yang memecahbelahkan.

MUIS perlu perjelaskan sama ada Pesuruhjaya PAS Sabah itu dibenarkan berkhutbah atas kapasiti rasmi atau tindakan beliau sebenarnya melanggar garis panduan jabatan agama negeri. Kejelasan ini penting bukan sekadar untuk menjaga imej institusi agama tetapi juga untuk memastikan mimbar Jumaat kekal bebas daripada pengaruh politik partisan.

AJK masjid berkenaan kesemuanya ahli PAS?

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.