Penyelewangan Minyak Masak Tertinggi Di Kawasan Armizan


Pek minyak masak bersubsidi sepatutnya menjadi hak rakyat miskin sebagai ihsan negara kepada golongan berpendapatan rendah. Namun hari ini, ia telah bertukar menjadi komoditi gelap yang dijual secara terbuka di pasar-pasar awam, termasuk di Lahad Datu, daerah asal Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.

Di situ, pemandangan minyak masak paket subsidi berharga RM2.50 dijual RM5 sepeket bukan lagi rahsia. Malah, satu kotak boleh mencecah RM70 hingga RM80. Ini bukan sekadar kisah terpencil, tetapi bukti nyata bahawa sistem pengagihan dan penguatkuasaan subsidi gagal berfungsi.

Lebih ironi, di sebalik sidang media yang gah mempamerkan rampasan dan suspek bergari, hakikatnya jenayah ini terus berulang. Rampasan bukan petunjuk kejayaan tetapi ia hanya bukti bahawa penyelewengan masih berleluasa.

Rakyat di bawah semakin susah mendapatkan minyak masak bersubsidi tetapi di pasar terbuka masih berlonggok jualan minyak paket yang kononnya dikawal ketat. Maka timbul persoalan, adakah KPDN benar-benar serius menangani jenayah kartel ini?

Sabah sememangnya lubuk penyelewengan subsidi. Garis pantainya yang panjang menjadi laluan ideal penyeludupan keluar minyak masak dan barangan bersubsidi lain. Aktiviti ini bukan rahsia lagi dengan cara ianya diborong oleh peniaga tanpa lesen, disimpan di stor gelap, sebelum dijual semula di pasar awam.

Maritim dan polis pernah melakukan rampasan besar, namun selang beberapa minggu, kegiatan itu muncul semula. Ini bukan masalah operasi yang kurang tetapi ini masalah sistemik yang tidak pernah di beri perhatian dari akar.

Soalan besar perlu dijawab oleh Armizan dan pasukan KPDN:

Mengapa selepas bertahun isu ini dibangkitkan, tiada mekanisme kawalan pembelian yang benar-benar berkesan?

Mengapa sistem pengesahan identiti seperti e-dompet atau MyKad belum dilaksanakan untuk menjejak pembelian subsidi?

Jika kartel minyak masak boleh beroperasi secara terbuka di depan mata orang ramai, di manakah penguat kuasa KPDN sebenarnya?

Rakyat berhak tahu apakah kegagalan ini berpunca daripada kelemahan Kementerian di bawah Armizan atau Armizan sendiri atau sikap sambil lewa Armizan atau keengganan Armizan menyentuh pemain besar yang mengaut keuntungan dari rantaian kotor ini?

Lebih membimbangkan, fenomena ini menampakkan wajah sebenar Armizan di mana beliau lebih sibuk dengan angka rampasan untuk tatapan kamera, sementara rakyat terus menanggung harga tinggi. Minyak bersubsidi tidak sampai ke dapur B40, sebaliknya menjadi mata pencarian haram bagi mereka yang memanipulasi system dan lebih tepat lagi dikuasai oleh kartel yang mempunyai kabel besar dengan Armizan?

Jika pentadbiran yang berjanji membela rakyat pun gagal di negeri asal menterinya sendiri, bagaimana rakyat mahu percaya masalah lebih besar di negeri lain akan diselesaikan?

Cukuplah drama Armizan dengan sidang media dan statistik yang menenangkan lensa kamera. Rakyat perlukan tindakan yang mengubah realiti di pasar.

Armizan perlu sedar selagi peket minyak bersubsidi masih dijual secara haram di bawah hidung beliau, selagi itulah slogan “subsidi untuk rakyat” kekal sekadar sandiwara dan bukan dasar yang benar-benar mengisi dapur rakyat.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.