Pemberian Khas RM600 Juta: Hajiji ‘Jual’ Sabah, Jawatan Ketua Menteri Kepada Anwar?


Isu pemberian khas RM600 juta daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sabah kini mencetuskan tanda tanya besar adakah ia benar-benar hasil rundingan demi kepentingan negeri atau sekadar "tawaran politik" bagi menyelamatkan kedudukan individu tertentu dalam pentadbiran negeri?

Menurut sumber dalaman yang rapat dengan beberapa pimpinan GRS sendiri, difahamkan bahawa Datuk Seri Hajiji Noor bersetuju menyerahkan jawatan Ketua Menteri kepada pihak PKR (Pakatan Harapan) dalam satu rundingan tertutup yang dikatakan turut melibatkan Putrajaya sekiranya kerjasama Pakatan Harapan dan GRS Berjaya memenangi Pilihanraya Negeri Sabah ke 17.

Pertukaran ini, menurut sumber bukan semata-mata soal kuasa tetapi demi menyelamatkan skandal besar yang kini menghantui kerajaan negeri iaitu projek perlombongan mineral Sabah yang dikaitkan dengan ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei.

Nama Albert Tei bukan asing dalam dunia perniagaan Sabah. Beliau dikaitkan dengan beberapa projek perlombongan dan sumber asli yang bernilai jutaan ringgit. Video pendedahan yang kini tular di media sosial menunjukkan bagaimana beberapa ADUN GRS disebut-sebut terlibat secara langsung dalam meluluskan konsesi perlombongan kepada syarikat yang mempunyai kaitan rapat dengan Albert Tei.

Jika dakwaan ini benar, maka tidak hairanlah mengapa Hajiji dikatakan begitu berlembut dengan Putrajaya dan bersedia membuat tawaran politik berisiko termasuklah menyerahkan tampuk kuasa kepada blok PH di Sabah.

Kerajaan Persekutuan baru-baru ini mengumumkan pemberian khas sebanyak RM600 juta kepada Sabah, kononnya sebagai sebahagian daripada pelaksanaan hak negeri di bawah MA63. Namun, beberapa pemerhati politik berpendapat angka ini terlalu kecil jika dibandingkan dengan hasil sebenar negeri terutama dari sektor minyak, gas dan sumber mineral.

Lebih mencurigakan, pengumuman itu datang hanya beberapa minggu selepas pertemuan tertutup antara Hajiji dan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya. Ramai tertanya-tanya adakah RM600 juta ini sebenarnya “tiket selamat” bagi Hajiji untuk terus berkuasa sementara menyusun langkah serah jawatan secara berperingkat kepada PKR?

Tindakan dan keputusan politik Hajiji akhir-akhir ini menimbulkan keresahan di kalangan ADUN GRS sendiri. Ada yang berpendapat ketua menteri itu terlalu banyak berkompromi dengan PH sehingga menjejaskan imej GRS sebagai parti tempatan yang kononnya memperjuangkan hak Sabah.

Video pendedahan yang dikaitkan dengan Albert Tei pula menambahkan tekanan terhadap kepimpinan Hajiji khususnya apabila ada dakwaan bahawa beberapa kontrak perlombongan diberikan tanpa ketelusan dan ada unsur “duit politik” yang mengalir untuk mengekalkan sokongan dalam DUN Sabah.

Apabila kuasa negeri, hasil bumi dan jawatan Ketua Menteri dijadikan bahan tawar-menawar politik, maka jelaslah bahawa kepentingan rakyat bukan lagi keutamaan.

Rakyat Sabah berhak bertanya apakah RM600 juta itu benar-benar untuk pembangunan rakyat atau sekadar bayaran balas bagi menutup skandal dan membeli masa untuk menyelamatkan individu tertentu?

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.