Pelaburan RM5 Bilion: Pahang Atasi Semua Negeri ECER


Pahang kini mencipta sejarah ekonomi baharu apabila merekodkan pelaburan direalisasi RM5 bilion dan pelaburan komited RM3.9 bilion hanya dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai jentera utama pertumbuhan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Kejayaan ini menjadikan Pahang antara negeri paling agresif menarik pelabur asing dan domestik, dengan kadar realisasi 90 peratus daripada sasaran ECERDC bagi tahun 2025, iaitu RM5.6 bilion, dua tahun lebih awal daripada jangkaan.







“Ini bukti Pahang kini muncul sebagai kuasa ekonomi baharu Pantai Timur,” ujar Menteri Besar Pahang, Dato Sri DiRaja Hj Wan Rosdy Wan Ismail.

Daripada keseluruhan pelaburan, sektor pembuatan mendominasi 41 peratus, diikuti minyak dan gas (34%) serta perkhidmatan (25%). Hasilnya, 2,846 peluang pekerjaan baharu sudah diwujudkan untuk rakyat negeri ini.

Dalam masa yang sama, pelaburan komited RM3.9 bilion dijangka membuka 3,185 lagi peluang pekerjaan tambahan apabila ia direalisasi sepenuhnya menjadikan lebih 6,000 pekerjaan baharu bakal tersedia di Pahang.

Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Pahang di Putrajaya hari ini menyaksikan empat syarikat utama menandatangani pelaburan bernilai RM1.6 bilion membuktikan kepercayaan pelabur antarabangsa terhadap potensi negeri ini:

1. PKNP Fire Phoenix Data Center Sdn Bhd – membina Pusat Data AI bertaraf dunia.

2. Sinolion Wheels Technology Sdn Bhd – pengeluar rim roda aloi aluminium berteknologi tinggi.

3. Malaysian Solar Resources Sdn Bhd – mendirikan kilang teknologi hijau tenaga boleh diperbaharui.

4. Lionphos Sdn Bhd – mengeluarkan fosfat gred makanan dan elektronik untuk pasaran eksport.

Kesemua pelaburan ini bukan sahaja meningkatkan daya saing industri Pahang, malah menjadikan negeri itu hab pelaburan teknologi tinggi dan hijau di Malaysia.Dalam acara sama, Pusat Konservasi dan Informasi Penyu (TCIC) Cerating telah diserahkan secara rasmi kepada Jabatan Perikanan Negeri Pahang — langkah penting memperkukuh ekopelancongan dan pemuliharaan biodiversiti.

Ia membuktikan bahawa kemajuan ekonomi Pahang tidak mengorbankan kelestarian alam malah menyeimbangkan antara pembangunan dan pemuliharaan.

Di bawah payung Aspirasi Pahang 1st, kerajaan negeri komited menjadikan pelaburan berkualiti sebagai teras utama pertumbuhan ekonomi.

Usaha ECERDC disokong penuh kerana ia menjana nilai strategik tinggi, inovasi, dan peluang pekerjaan yang menepati cita rasa industri masa depan.“Pahang bukan lagi negeri transit, tetapi destinasi pelaburan utama Malaysia,” 

Pahang kini bukan sekadar pengeluar sumber semula jadi tetapi pusat ekonomi baharu yang menggabungkan inovasi, tenaga hijau, dan daya saing global. 

Dengan prestasi pelaburan yang mengatasi sasaran lebih awal, negeri ini jelas sedang menuju status “economic powerhouse” Pantai Timur Malaysia.


Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.