Dalam siri kempen terbarunya, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan tampil dengan mesej yang menyentuh hati rakyat Sabah pembangunan bukan hanya tentang projek fizikal, tetapi tentang kesinambungan, keprihatinan dan komitmen politik yang jujur kepada rakyat.
Menurut beliau, projek Lebuh Raya Pan Borneo menjadi simbol
nyata bagaimana Barisan Nasional (BN) sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di
hadapan. “Pan Borneo bukan sekadar jalan raya. Ia adalah nadi ekonomi luar
bandar, jambatan penghubung peluang, dan pemangkin kemajuan Sabah secara
menyeluruh,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kejayaan menyiapkan
sepenuhnya projek Pan Borneo di Sarawak hanya berlaku di bawah pentadbiran BN sedangkan
projek di Sabah tergendala selepas pertukaran kerajaan. Ini, katanya, adalah
bukti jelas bahawa apabila politik tidak stabil, rakyat yang menanggung
akibatnya.
“Rakyat Sabah perlu faham bahawa pembangunan memerlukan
kesinambungan. Bila kerajaan silih berganti, projek tergendala, pelaburan
tertunda dan impian rakyat terbantut,” ujarnya dengan penuh keyakinan.
Mohd Rafi menyeru agar rakyat Sabah mengembalikan mandat
kepada BN dalam Pilihan Raya Negeri akan datang. “BN tidak pernah meninggalkan
rakyat Sabah, dari dahulu hingga kini, BN kekal sebagai parti yang bekerja,
bukan sekadar berjanji,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa BN membawa strategi pembangunan
jangka panjang bukan retorik politik jangka pendek. Melalui pelan pembangunan
infrastruktur, peluang pekerjaan serta pembelaan luar bandar, BN bertekad untuk
memastikan Sabah menjadi negeri maju dan sejahtera menjelang 2030.
“Rakyat Sabah telah melihat siapa yang benar-benar bekerja
dan siapa yang hanya pandai berpolitik. PRN kali ini bukan sekadar soal parti
tetapi soal masa depan negeri ini” tambahnya.
Dengan mesej kempen yang berpaksikan ‘Kesinambungan Untuk
Kemajuan’, BN dilihat sedang menyusun strategi komunikasi yang berfokus menekankan
keberhasilan masa lalu, kestabilan masa depan, dan keikhlasan perjuangan.
Sabah memerlukan kerajaan yang stabil bukan eksperimen
politik dan dalam naratif itu, BN mahu rakyat kembali percaya bahawa jalan ke
masa depan Sabah bermula dengan jalan Pan Borneo simbol kemajuan yang dibina
atas janji yang ditepati.

Comments
Post a Comment