Pahang Terus Cemerlang: Penyata Kewangan Negeri Terima Pengiktirafan Tinggi Dua Tahun Berturut-Turut
Pengiktirafan ini merupakan tahun kedua berturut-turut Pahang menerima penilaian tertinggi tersebut, selepas kejayaan sama dicapai pada tahun 2023.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, pencapaian ini menjadi bukti nyata bahawa pentadbiran negeri berada pada landasan tadbir urus yang kukuh, berpaksikan akauntabiliti, ketelusan dan integriti, selaras dengan semangat Aspirasi Pahang 1st.
“Kejayaan ini mencerminkan komitmen seluruh jentera pentadbiran negeri dalam memastikan setiap sen hasil negeri diurus dengan berdisiplin dan dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan media hari ini di Facebook Wan Rosdy.
YAB Menteri Besar turut menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus memperkukuh disiplin fiskal dan menambah baik sistem pengurusan kewangan agar kekal efisien, telus dan berimpak tinggi kepada pembangunan negeri.
Penilaian Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion) oleh Ketua Audit Negara adalah penarafan tertinggi yang menunjukkan penyata kewangan sesebuah kerajaan negeri disediakan dengan betul, mengikut piawaian perakaunan dan tidak mengandungi sebarang kesilapan material.
Pencapaian ini menegaskan keupayaan Kerajaan Negeri Pahang di bawah pimpinan Wan Rosdy untuk mengekalkan rekod cemerlang dalam tadbir urus kewangan, sekali gus memperkukuh keyakinan rakyat dan pelabur terhadap kestabilan ekonomi negeri itu.
Dalam konteks Aspirasi Pahang 1st, kejayaan dua tahun berturut-turut ini menggambarkan kesungguhan kerajaan negeri menjadikan Pahang sebuah negeri makmur, berdaya saing dan berintegriti tinggi.
Usaha berterusan memastikan pengurusan kewangan yang teratur bukan sahaja meningkatkan kecekapan pentadbiran, malah memberi manfaat langsung kepada rakyat melalui pelaksanaan projek-projek pembangunan dan kebajikan yang lebih berkesan.
Kejayaan Pahang memperoleh Pendapat Tanpa Teguran dua tahun berturut-turut bukan sekadar angka di atas kertas. Ia adalah simbol kepada kepimpinan berwibawa dan pentadbiran beramanah di bawah Dato’ Sri Wan Rosdy.
Pahang kini muncul sebagai antara negeri paling konsisten dalam menegakkan prinsip akauntabiliti, ketelusan dan integriti dalam pengurusan kewangan awam. Tahniah Pahang.



Comments
Post a Comment