Isu pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kembali menjadi tumpuan selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu baru-baru ini yang memihak kepada Sabah Law Society (SLS), mengiktiraf hak negeri Sabah menerima 40 peratus hasil Persekutuan yang dikutip dari negeri itu seperti termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Namun dalam kehangatan reaksi politik, timbul pula ugutan terbuka daripada menteri-menteri Sabah dalam kabinet persekutuan yang mendakwa akan meletakkan jawatan sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC)memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah tersebut.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, menyifatkan tindakan tersebut sebagai “political ransom” sebagai satu bentuk ugutan politik yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara dan boleh merosakkan prinsip kedaulatan undang-undang yang menjadi asas kepada sistem persekutuan Malaysia.
Di sebalik kekecohan politik hari ini, wajar diingat bahawa isu MA63 bukanlah perkara baharu, UMNO dan Barisan Nasional lah yang benar-benar memartabatkan dan memulakan proses pengembalian hak Sabah dan Sarawak secara rasmi.
Sebelum era Najib, isu MA63 sering dijadikan retorik politik bermusim tanpa tindakan konkrit. Tetapi di bawah pentadbiran beliau, buat pertama kali Kerajaan Persekutuan menubuhkan Jawatankuasa Khas MA63 yang menghimpunkan wakil daripada Sabah, Sarawak, dan Kerajaan Pusat bagi membincangkan secara rasmi tuntutan autonomi dan hak negeri.
Antara langkah bersejarah semasa era Najib termasuk:
1. Pengiktirafan rasmi terhadap status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia, bukan sekadar negeri ke-12 dan ke-13.
2. Peruntukan pembangunan luar bandar Sabah dan Sarawak ditingkatkan secara besar-besaran, termasuk projek Pan Borneo Highway yang menjadi simbol keadilan pembangunan wilayah.
3. Rundingan awal bagi semakan semula hasil dan royalti petroleum dimulakan dengan lebih terbuka dan berpandukan semangat MA63, bukannya tekanan politik.
Pendek kata, Najib tidak bermain ugutan politik, tetapi mengangkat isu MA63 melalui saluran rasmi dan perundingan berhemah, berasaskan prinsip undang-undang serta kesepakatan nasional.
Pendekatan Najib Razak terhadap MA63 suatu ketika dahulu membuktikan bahawa keadilan kepada Sabah dan Sarawak tidak memerlukan ancaman atau tekanan politik, tetapi boleh dicapai melalui:
a. Dialog antara kerajaan,
b. Kajian bersama perundangan, dan
c. Perancangan fiskal yang seimbang.
Najib memahami bahawa hak Sabah dan Sarawak bukan sekadar soal wang atau peratus hasil, tetapi soal maruah persekutuan. Beliau pernah menegaskan bahawa “semangat MA63 adalah asas penyatuan Malaysia; kita mesti memperbetulkannya dengan adil dan tenang.”
Najib, semasa kepimpinannya, sentiasa menghormati peranan badan kehakiman dalam menentukan tafsiran undang-undang berkaitan MA63. Beliau tidak pernah menghalang proses mahkamah, malah menggalakkan semua pihak mendekati isu ini dengan hujah, bukan emosi.
Pendekatan sebegini menunjukkan kebijaksanaan politik dan kematangan kepimpinan Najib, berbanding taktik ugutan yang boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap kestabilan kerajaan pusat.
Hari ini, ketika isu MA63 kembali menjadi perdebatan hangat, rakyat Sabah dan Sarawak seharusnya mengimbau kembali zaman kepimpinan Najib Razak di mana isu hak negeri dibawa ke meja rundingan, bukan ke pentas ugutan.

Comments
Post a Comment