Masalah Air, Letrik, Jalanraya: Shafie Apdal Guna Jin?


Tiga masalah utama rakyat Sabah iaitu air, elektrik dan jalan raya sekali lagi menjadi bahan kempen panas selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 6 Oktober lalu. Isu lama ini kembali menghantui rakyat dan kini menjadi medan ujian sejauh mana parti-parti politik benar-benar memahami realiti di lapangan serta kemampuan mereka menawarkan penyelesaian yang praktikal.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, baru-baru ini membuat janji besar akan menyelesaikan masalah air di seluruh Sabah dalam tempoh setahun sekiranya partinya kembali memerintah. Shafie mendakwa ia boleh dilakukan dengan menambah kapasiti loji rawatan air serta meningkatkan kecekapan pengurusan sumber air. Namun, janji itu menimbulkan persoalan besar, mengapa perkara yang sama tidak dilakukan ketika beliau memegang kuasa antara 2018 hingga 2020?

Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, membidas janji tersebut sebagai tidak realistik dan penuh retorik politik. Beliau mengingatkan bahawa projek penting seperti Loji Rawatan Air Kogopon di Papar, yang mengambil masa lebih 10 tahun untuk dibincangkan, tidak pernah dimulakan semasa Warisan memerintah.

Berbeza dengan itu, Barisan Nasional (BN) Sabah melalui Datuk Seri Bung Moktar Radin tampil dengan pendekatan yang lebih praktikal dan berasaskan realiti pentadbiran. BN tidak menjanjikan penyelesaian dalam masa singkat, sebaliknya berikrar untuk menyelesaikan isu air, elektrik dan jalan raya dalam tempoh tiga tahun secara berfasa dengan kerjasama erat kerajaan Persekutuan.

Bung menekankan bahawa penyelesaian jangka panjang hanya boleh dicapai melalui kesepakatan antara kerajaan negeri dan Persekutuan, selain memastikan pelaksanaan di peringkat jabatan dan agensi lebih efisien. Pendekatan ini dianggap paling realistik kerana mengambil kira faktor masa, kos dan kapasiti pelaksanaan dan bukan sekadar slogan atau retorik.

Dalam masa terdekat, BN Sabah dijangka memperkenalkan Rancangan Pembangunan Sabah Satu, sebuah pelan menyeluruh yang merangkumi infrastruktur asas, ekonomi rakyat dan pembangunan luar bandar dan ianya bukti bahawa BN bukan hanya berjanji, tetapi mempunyai hala tuju dan pelan tindakan sebenar.

Apabila membandingkan tiga blok utama, Warisan dengan janji magisnya, GRS dengan pendekatan separuh yakin dan BN dengan rancangan berasaskan fakta dan tempoh realistik, rakyat Sabah pastinya lebih percaya kepada janji yang berpijak di bumi nyata. Seperti kata Bung Moktar, “Sabah tidak perlukan slogan, Sabah perlukan tindakan.”

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.