Isu hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kembali hangat dibicarakan setiap kali menjelang pilihan raya. Namun di sebalik retorik politik pelbagai pihak yang cuba menunggang isu ini, hakikatnya perjuangan sebenar menuntut keadilan untuk Sabah telah lama digerakkan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Datuk Seri Najib Razak, ketika menjadi Perdana Menteri pernah menegaskan bahawa kerajaan persekutuan tidak pernah berniat mengambil apa-apa yang menjadi hak negeri Sabah. Malah, jika ada hak yang “terambil” secara tidak sengaja, kerajaan ketika itu komited untuk memulangkannya kembali kepada rakyat Sabah.
“Kalau kita terambil dahulu, kita kena pulangkan balik. Ini perjuangan kita bersama bukan perjuangan PBS sahaja, tetapi perjuangan Barisan Nasional,”
Kenyataan itu membuktikan bahawa BN bukan sekadar bercakap soal hak Sabah dari segi politik, tetapi melaksanakannya melalui dasar dan tindakan.
Najib turut menegaskan bahawa rakyat Sabah berhak membicarakan isu MA63 tanpa perlu bimbang dikenakan tindakan undang-undang. Pernah dalam ucapannya, beliau dengan sinis mengingatkan bahawa pemimpin PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pernah ditahan di bawah ISA suatu ketika dahulu bukan semasa pentadbiran BN moden, tetapi ketika era lama di mana suara Sabah sering disekat. (Anda tahu siapa Perdana Menteri ketika itu?)
“Nak sebut MA63, sebutlah. Saya tidak akan masukkan sesiapa di bawah ISA,” kata Najib, menggambarkan pendekatan terbuka BN dalam menghormati hak bersuara rakyat Sabah.
Pendekatan Najib dan BN jelas iaitu dengan dialog, bukan intimidasi. Perbincangan, bukan penindasan. BN melihat isu MA63 bukan sebagai alat politik, tetapi sebagai tanggungjawab moral dan perundangan yang mesti disempurnakan.
Sementara pihak lain hanya tahu berslogan “Hak Sabah”, BN membuktikan komitmen melalui pembangunan yang boleh dirasai. Contohnya di bawah pentadbiran Najib dan kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman, projek-projek besar seperti Lebuhraya Pan Borneo mula dilaksanakan dengan peruntukan besar daripada kerajaan persekutuan.
“Laluan MRT di Kuala Lumpur sudah siap, dan kini Pan Borneo di Sabah sedang berjalan rancak. Ini semua cerminan masa depan Malaysia dan kita akan jaga segalanya termasuk keselamatan orang Sabah,” ujar Najib.
Itulah wajah sebenar perjuangan Barisan Nasional, menyeimbangkan keadilan politik dengan pembangunan ekonomi. Barisan Nasional tidak sekadar menandatangani dokumen atau melaungkan janji tetapi menggerakkan pelan fizikal dan ekonomi yang menjamin kesejahteraan jangka panjang rakyat Sabah.
Ketika BN menunaikan janji dengan tindakan nyata, pembangkang pula sibuk berebut “kredit politik”. Masing-masing mahu mengaku sebagai pejuang MA63, walhal rekod menunjukkan mereka gagal membawa sebarang penyelesaian konkrit ketika berkuasa.
Malah ketika itu Najib mengingatkan rakyat Sabah agar tidak terpedaya dengan parti yang tidak mampu mengurus rumah tangga sendiri, apatah lagi mahu mentadbir negara.
“Undang-undang sendiri pun tak dapat ikut, macam mana nak perintah negara ini?” katanya sinis terhadap parti pembangkang yang sering mencipta kekeliruan dan kecelaruan politik.
Barisan Nasional telah membuktikan keupayaan melalui kepimpinan yang stabil dan kerjasama erat antara pusat dan negeri. Isu-isu besar seperti pendatang tanpa izin (PATI) dan tanah adat juga berjaya ditangani melalui pendekatan bersama antara kerajaan persekutuan dan negeri.
“Kita ada pemimpin baik di Sabah yang boleh bekerjasama dengan saya, Musa Aman, PBS, dan semua rakan setia kita. Masalah PATI dan tanah adat dapat diselesaikan,” kata Najib.
Jelas bahawa di bawah BN, perjuangan Sabah bukan sekadar retorik, tetapi hasil nyata yang boleh diukur.
Sejarah panjang perjuangan Barisan Nasional di era Najib-Zahid Hamidi membuktikan bahawa MA63 bukan milik mana-mana parti tetapi BN adalah tulang belakang kepada usaha memperbetulkan semula tafsiran dan pelaksanaan perjanjian itu. Di bawah kerajaan Barisan Nasional ketika itu, semangat federalisme dan keadilan untuk Sabah diberi nafas baharu.
Hari ini, ketika pelbagai parti cuba menunggang isu MA63 untuk kelangsungan politik mereka, rakyat Sabah wajar menilai semula, siapa yang benar-benar memperjuangkan hak Sabah dengan tindakan dan pelaksanaan dan siapa yang sekadar menjaja naratif “pejuang” untuk menutup kegagalan sendiri?





Comments
Post a Comment