Isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan sekadar tentang sejarah, tetapi tentang keikhlasan politik dalam menunaikan hak negeri Sabah dan Sarawak yang telah lama tertangguh. Ramai yang hari ini mahu mengaku pejuang MA63 tetapi sedikit yang berani mengakui siapa yang sebenarnya membuka jalan penyelesaian secara serius Datuk Seri Najib Razak.
Pada tahun 2016, ketika Najib masih menjadi Perdana Menteri, beliau menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Pelaksanaan MA63, langkah rasmi pertama yang disokong sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan untuk membincangkan isu-isu tertunggak antara Sabah, Sarawak dan Kerajaan Pusat.
Inisiatif ini bukan retorik politik tetapi melibatkan dokumen rasmi, siri mesyuarat teknikal dan penyertaan wakil-wakil negeri untuk mengenal pasti bidang kuasa yang perlu dipulangkan semula kepada kerajaan negeri.
Namun malangnya, pada tahun 2018, sebelum hasil perbincangan itu dapat diterjemah dalam bentuk pindaan perlembagaan dan pelaksanaan penuh, Najib tidak lagi menjadi Perdana Menteri. Proses tersebut terhenti di tengah jalan bukan kerana ianya gagal tetapi kerana kerajaan pusat telah berubah, Barisan Nasional kalah.
Kini, Hajiji Noor, Shafie Apdal, malah Jeffrey Kitingan begitu ghairah dengan masing-masing tampil mengaku bahawa perjuangan MA63 adalah hasil inisiatif mereka. Sedangkan yang membuka pintu perbincangan, mengiktiraf secara rasmi isu tertunggak Sabah dan Sarawak serta meletakkan asas kepada pelaksanaan semula hak negeri-negeri itu ialah Najib sendiri.
Ironinya, ketika Najib menubuhkan jawatankuasa itu pada 2016, ramai yang sinis dan tidak percaya akan kesungguhan beliau. Tetapi selepas beliau tidak lagi berkuasa, perjuangan yang sama tiba-tiba menjadi “modal politik” orang lain sekadar untuk membina imej kononnya mereka “pejuang hak negeri”.
Realitinya, Najib tidak menunggu tekanan politik untuk bertindak. Beliau memahami bahawa keadilan pembangunan dan autonomi yang seimbang antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak adalah kunci kepada perpaduan nasional.
Hari ini, apa sahaja rundingan atau perbincangan berkaitan MA63 sebenarnya berdiri di atas asas dan struktur yang beliau bina hampir satu dekad lalu.
Benar kata orang, sejarah tidak boleh diputar. Namun dalam politik Malaysia, terlalu ramai yang gemar “mengeloh sejarah” demi kelihatan berjasa.
Akhirnya dalam hal MA63 hakikat yang tidak boleh dipadam ialah perjuangan sebenar bermula daripada Datuk Seri Najib Razak dan Barisan Nasional.

Comments
Post a Comment