Apabila mahkamah tinggi di sini semalam mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan semakan dan pelaksanaan pemberian khas 40 peratus hasil Sabah maka riuh rendahlah parti politik dan pemimpin parti tertentu kononnya merekalah hero dan pejuang MA63 dan kerajaan Barisan Nasional telah menafikan hak Sabah selama hampir 50 tahun.
Isu Malaysia Agreement 1963 (MA63) terus menjadi bahan utama di media sosial pro Warisan dan GRS. Mereka berlumba-lumba mendakwa bahawa merekalah pejuang tulen dalam memperjuangkan hak-hak Sabah khususnya tuntutan 40% hasil negeri seperti termaktub dalam MA63.
Namun, di sebalik laungan semangat dan slogan-slogan retorik ini, satu persoalan besar muncul, siapakah sebenarnya yang benar-benar memperjuangkan hak Sabah selama ini dan siapa pula yang merosakkan perjuangan itu?
Realitinya, perjuangan menuntut hak 40% hasil negeri Sabah bukan dimulakan oleh Warisan mahupun GRS. Perjuangan itu sudah lama dibangunkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui dasar konsisten sejak era 1990-an khususnya selepas BN mengambil alih pentadbiran Sabah pada tahun 1994.
Ketika itu, kepimpinan BN Sabah melalui Datuk Seri Bung Moktar Radin dan rakan-rakan dalam kerajaan pusat telah memperjuangkan agar hak Sabah di bawah MA63 dikembalikan secara progresif, termasuk dalam rundingan rasmi dengan kerajaan persekutuan ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri.
Bahkan menurut Bung Moktar sekiranya BN tidak tumbang pada PRU14 tahun 2018 maka pelaksanaan bayaran 40% hasil negeri Sabah itu mungkin sudah direalisasikan selaras dengan janji Najib yang ketika itu sudah memasuki fasa pelaksanaan akhir.
Namun, kekalahan BN akibat fitnah dan hasutan politik ketika itu bukan sahaja menggugurkan kerajaan tetapi turut mematikan momentum perjuangan MA63 yang sedang diuruskan secara rasmi antara Sabah dan Putrajaya pimpinan Barisan Nasionan.
Kini, setelah lima tahun berlalu, parti seperti Warisan dan GRS tiba-tiba tampil seolah-olah mereka “penyelamat” MA63. Tetapi rakyat yang celik politik tahu, apa yang berlaku hanyalah sandiwara politik untuk memancing undi terutamanya menjelang PRN Sabah ke-17.
Menurut Bung Moktar, kebanyakan perkara dalam MA63 sebenarnya telah hampir diselesaikan sejak lama dahulu dan hanya tinggal beberapa perkara teknikal untuk dimuktamadkan di peringkat kerajaan persekutuan. Maka apabila Warisan dan GRS menjadikan MA63 sebagai janji manifesto baharu, itu hanyalah strategi politik yang berulang-ulang tanpa hakikat perjuangan sebenar.
“Ini semua retorik politik sajalah sebab MA63 kebanyakannya telah selesai tinggal lagi beberapa perkara tertentu. Sekali pun nak selesaikan, tak perlu masuk dalam manifesto sebab MA63 dah dibicarakan berpuluh tahun lalu,” katanya.
Lebih ironik, pihak yang kini mendabik dada sebagai “hero Sabah” inilah yang dahulu menentang keras usaha BN memperjuangkan MA63. Malah, pernah ada usaha terancang oleh segelintir pemimpin ketika itu untuk menutup suara mana-mana pihak yang mengungkit isu MA63 termasuk tindakan undang-undang terhadap mereka yang berani menyuarakan hak Sabah secara terbuka.
Kini, setelah angin politik berubah, golongan sama kembali dengan wajah baharu dan mereka bersandiwara kononnya merekalah wira negeri. Inilah wajah hipokrasi politik Sabah yang harus disedarkan kepada rakyat.
Malah Timbalan Perdana Menteri Kerajaan BN ketika itu menegaskan “Kita tahu, ada yang cuba mempromosikan ‘Sabah For Sabahan’, kononnya MA63 adalah sesuatu yang harus diperjuangkan oleh pihak berkenaan. Tetapi, saya mewakili Perdana Menteri (Najib Razak), saya mewakili BN akan memberi jaminan bahawa MA63 akan termasuk dalam manifesto (BN) dan hak orang Sabah akan pasti terus dipertahankan.
“Jangan ingat kerajaan BN tidak ambil peduali tentang MA63. Kerana kita yakin dan percaya dengan komitmen perdana menteri bahawa mana-mana dalam MA63 yang telah terambil ataupun terlepas pandang, pasti dan akan dirundingkan sebab tuntutan orang Sabah seperti tercatat dalam MA63 berhak untuk dipenuhi. – Kenyataan pada 23 Mac 2018
Rakyat Sabah tidak lagi boleh diperbodohkan dengan naratif retorik yang diulang saban pilihan raya. MA63 bukan bahan propaganda. Ia dokumen sejarah dan asas perlembagaan yang memerlukan keseriusan, bukan permainan persepsi.
Warisan dan GRS boleh terus menjual slogan tetapi fakta sejarah tidak boleh diubah bahawa pejuang sebenar hak Sabah ialah kerajaan Barisan Nasional yang telah memulakan rundingan rasmi dan hampir menyelesaikannya sebelum sabotaj politik menamatkan legasi itu pada 2018.
Kini, tanggungjawab kerajaan perpaduan yang diterajui BN adalah untuk meneruskan perjuangan itu dengan pendekatan konsisten dan berfakta tetapi bukan dengan gimik dan bukan dengan drama.
“Jangan gunakan MA63 sebagai batu loncatan untuk tarik pengundi pada PRN Sabah nanti.”
kata Datuk Seri Bung Moktar Radin lagi.
Bersambung – Perdana Menteri mana yang bersungguh haling MA63 dari menjadi kenyataan dan Perdana Menteri mana yang begitu serius dan konsisten dalam isu ini.
Siapa pula wakil dari Sabah yang terlibat dalam MA63 ini?


Comments
Post a Comment