Hajiji seolah-olah hidup dengan satu falsafah mudah, “Bukan aku tinggalkan parti, tapi parti yang tak ikut aku.”
Suatu ketika dahulu, Hajiji adalah wajah orang kuat UMNO Sabah, pembela parti dan antara jentera paling lantang. Namun sebaik UMNO tumbang di pusat prinsipnya pun tumbang sama. Sekelip mata Hajiji jadi “pejuang Sabah sebenar” yang kononnya mahu keluar dari belenggu pusat. Padahal yang benar beliau cuma tak mahu karam bersama kapal yang hampir tenggelam.
Maka berpindahlah dia ke Bersatu atas nama perjuangan baharu. Tapi kita semua tahu, perjuangan itu tak sampai setahun pun sudah berbau pragmatisme politik.
Tidak sampai dua penggal, Hajiji sekali lagi berubah warna. Kali ini Bersatu pula jadi mangsa Hajiji.
Alasannya? Bersatu bukan parti Sabah, katanya.
Tapi pelik, waktu dulu masa bersama Bersatu, slogan “Sabah Maju Bersama Malaysia” jadi bahan kempen. Kini, “Sabah First” pula dijadikan alasan untuk menendang Bersatu keluar dari naratif.
Konon mahu memperjuangkan otonomi negeri. Tapi hakikatnya, otonomi yang diperjuangkan bukan untuk Sabah tapi untuk kuasanya sendiri.
Ironi paling lucu dalam politik moden orang yang dulu menggelar PH perosak negara kini bersatu di bawah panji yang sama.
Dulu PH diserang kononnya gagal menjaga kepentingan negeri, hari ini PH pula dijulang sebagai rakan kerjasama kononnya demi kestabilan.
Hakikatnya rakyat boleh nampak bukan kestabilan yang dicari, tetapi sandaran baru untuk terus kekal di kerusi empuk.
Begitulah politik Hajiji bila kuasa goyah, dia akan cari dinding baru untuk bersandar.
Kalau dulu dia naik kapal UMNO kemudian lompat ke kapal Bersatu dan kini menumpang PH dan yang pasti satu perkara tak berubah, kaptennya tetap Hajiji dan matlamatnya tetap menuju arah kuasa.
Kata orang lama “Bila politik jadi mata pencarian, pengkhianatan pun jadi pekerjaan.”
Hari ini, Hajiji bukan sekadar simbol pengkhianatan politik Sabah tapi ikon kepada budaya politik tanpa malu.

Comments
Post a Comment