
Ahli Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS)
Isu pelantikan Aliakbar Gulasan, Ahli Majlis Tertinggi
Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) kini menjadi perbualan hangat di kalangan
rakyat Sabah. Persoalan besar timbul bagaimana seorang ahli politik yang berjawatan
sebagai Pesuruhjaya PAS Sabah boleh bebas membaca khutbah Jumaat tanpa teks
rasmi MUIS sedangkan peraturan agama negeri menetapkan khutbah mesti
disampaikan oleh individu yang ditauliahkan serta menggunakan teks diluluskan?
Rakyat Sabah mula mempersoalkan, siapakah sebenarnya yang
meluluskan lantikan Aliakbar sebagai Ahli Majlis Tertinggi MUIS?
Adakah ia mendapat perkenan Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah, Tun
Musa Aman atau kuasa tersebut terletak di tangan Yang Di-Pertua MUIS, Datuk
Seri Panglima Yahya Hussin atau mungkin atas restu politik Ketua Menteri, Datuk
Seri Hajiji Noor memandangkan Aliakbar merupakan pemimpin nombor satu PAS
Sabah?
Di Semenanjung, peraturan amat jelas majlis agama negeri di
bawah Sultan atau Raja tidak membenarkan ahli politik memegang jawatan dalam
struktur masjid, apatah lagi menyampaikan khutbah Jumaat. Maka mengapa peraturan
yang ketat di Semenanjung itu longgar apabila tiba di Sabah?
Orang politik “Membaca khutbah” itu sendiri adalah cara mempromosi diri kononnya individu itu terbaik akhlak dan seupamanya.
Lihat sahaja penerimaan
penyokong yang jahil apabila hanya mampu berfikir bahawa khutbah juga
gelanggang “adu bakat” antara pemimpin politik. Siapa yang boleh membaca
khutbah tanpa teks dan siapa yang tidak mampu. Pemikiran ini amat bahaya.
Menurut Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Negeri Sabah
1992, bidang kuasa agama Islam terletak di bawah MUIS dan JHEAINS termasuk
dalam hal pelantikan khatib serta penyampaian khutbah Jumaat.
Secara asasnya, seseorang hanya boleh menjadi khatib jika:
- Berdaftar
atau ditauliahkan oleh JHEAINS, dan
- Menggunakan
teks khutbah yang diluluskan oleh MUIS atau JHEAINS.
Tambahan pula, seorang khatib wajib mempunyai kelayakan
agama yang diiktiraf.
Namun rekod akademik Aliakbar menunjukkan beliau bukan
berkelulusan agama sebaliknya dalam bidang Geografi dan Pengurusan Alam Sekitar
dari Universiti Malaya dan UKM serta PhD
dalam bidang Geografi Bandar.
Jadi, persoalan seterusnya, bila dan di mana beliau
memperoleh kelayakan rasmi sebagai ‘agamawan’?
Kedudukan Aliakbar sebagai Ahli Majlis Tertinggi MUIS
hanyalah jawatan pentadbiran dan pembuat dasar dan bukan lesen automatik untuk
menjadi khatib tanpa tauliah khas daripada JHEAINS dan tindakan beliau
menyampaikan khutbah boleh dianggap melanggar tatacara khutbah rasmi negeri.
Sekiranya benar beliau berbuat demikian tanpa kelulusan rasmi, maka tindakan ini boleh ditafsir sebagai penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran disiplin institusi agama.
Akhirnya rakyat Sabah inginkan pengesahan, adakah MUIS kini berperanan sebagai
sayap politik yang mempromosi ahli politik tertentu menjelang PRN Sabah ke-17?
MUIS perlu tampil memberikan penjelasan terbuka dan rasmi
dan bukan sekadar menutup mata atas alasan Aliakbar adalah seorang YB lantikan.
Integriti institusi agama mesti dipelihara daripada campur tangan politik.
Comments
Post a Comment