Insiden memilukan di sebuah sekolah di Alor Gajah baru-baru ini membuka satu lagi lembaran hitam dalam dunia pendidikan negara. Sekumpulan pelajar remaja bawah umur didakwa merogol rakan sekelas mereka di dalam bilik darjah pada jam 2.50 petang, dengan perbuatan jijik itu dirakam oleh dua pelajar lain menggunakan telefon bimbit.
Soalnya, apa yang sedang berlaku dalam sistem nilai dan pendidikan kita?
Apakah undang-undang dan pendekatan sosial kita terlalu lembut terhadap pelaku bawah umur hingga mereka hilang rasa takut dan malu untuk melakukan kejahatan sebesar ini?
Selama ini, setiap kali berlaku jenayah seksual melibatkan pelajar, alasan yang sama akan diulang, “Mereka masih budak, masih boleh dipulihkan.”
Tetapi adakah kita terlalu mudah melupakan hakikat bahawa mangsa akan menanggung trauma seumur hidup? Luka fizikal mungkin sembuh, tetapi luka psikologi akan kekal menghantui, menjadi bayangan gelap dalam setiap langkah masa depan mereka.
Jika pelaku mampu merancang, menyembunyikan perbuatan, malah merakam perbuatan keji itu, bukankah itu tanda bahawa mereka sudah memahami baik dan buruk?
Mereka tahu apa yang dilakukan adalah salah tetapi tetap melakukannya.
Maka wajar dipersoalkan, mengapa sistem undang-undang masih memberi perlindungan penuh hanya kerana umur mereka belum 18 tahun?
Sudah tiba masanya Akta Kanak-Kanak 2001 dan undang-undang jenayah seksual diteliti semula, dengan mengambil kira tahap kesedaran, niat dan kesan terhadap mangsa. Dalam dunia digital hari ini, remaja lebih pantas matang dari segi pemikiran — termasuk dalam hal-hal gelap yang mereka serap dari media sosial, pornografi dan budaya hiburan tanpa batas.
Kita tidak boleh lagi berlindung di sebalik naratif “anak-anak tidak tahu apa-apa”.

Jika mereka cukup matang untuk berfikir dan bertindak seperti orang dewasa ketika melakukan jenayah, maka mereka juga wajar dihukum seperti orang dewasa.
Masyarakat menuntut keadilan bukan sekadar untuk menghukum, tetapi untuk memulihkan keyakinan bahawa sekolah masih tempat selamat untuk belajar, bukan tempat mangsa menanggung ngeri dalam diam.
Persoalan besar kini: Apakah kita sanggup terus membiarkan undang-undang “melindungi” penjenayah muda sementara mangsa terus dihukum oleh trauma yang tiada penamat?

Comments
Post a Comment