Kerajaan GRS Tidak Bayar Elaun JKKK?


Surat rasmi bertarikh 5 Ogos 2025 daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah mengesahkan kenaikan elaun bagi Pengerusi dan Setiausaha JKKK kepada RM800 dan RM400, berkuat kuasa Januari 2025. Namun, sehingga kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dibubarkan, bayaran itu masih belum diterima oleh penerima di peringkat kampung.

Kegagalan ini menimbulkan persoalan besar terhadap keikhlasan dan kecekapan kerajaan GRS dalam menguruskan hal ehwal pembangunan luar bandar, terutamanya terhadap pemimpin akar umbi yang menjadi nadi penyampaian dasar kerajaan di peringkat desa.

Beberapa pemimpin kampung meluahkan kekecewaan, menyifatkan janji GRS hanya sekadar gimik politik, sedangkan mereka yang menjadi tulang belakang kerajaan di peringkat kampung terus dipinggirkan. “Mereka sering umum projek berbilion ringgit, tapi bayaran elaun asas pun tertunda berbulan-bulan. Ini bukan soal duit, tapi soal maruah dan tanggungjawab,” kata seorang Pengerusi JKKK di pedalaman Sabah.

Perbandingan turut dibuat dengan pentadbiran terdahulu, di mana elaun dan bantuan kebajikan disalurkan lebih awal tanpa perlu menunggu hingga pertengahan bulan. Bagi mereka, apa yang berlaku kini mencerminkan urus tadbir yang longgar dan tidak berfokus, walaupun GRS sering melaungkan kononnya mereka membawa kestabilan dan pembangunan.

Kelewatan ini sekaligus memperkukuh persepsi bahawa GRS gagal mentadbir dengan cekap, sebaliknya hanya pandai berjanji menjelang pilihan raya tanpa keupayaan untuk menunaikannya. Dalam konteks politik semasa, isu ini boleh menjadi simbol kekecewaan rakyat luar bandar terhadap kerajaan yang lebih sibuk menjaga imej daripada menjaga rakyat.

Jika kerajaan gagal melunaskan hak sekecil elaun pemimpin kampung, bagaimana rakyat boleh percaya janji besar lain yang sering dicanang dalam kempen politik mereka?

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.