Tular pada 13 Jun 2025 sebuah rakaman video serbuan pihak berkuasa terhadap pendatang tanpa izin di Semporna yang dipercayai berasal dari Suluk, Filipina. Video daripada akaun rasmi ‘Media Sabah’ itu menunjukkan suasana kelam-kabut, ada yang bertempiaran lari, ada yang terjun ke laut, malah ada yang bersembunyi di celah-celah bot nelayan.
Kejadian tersebut bukan sesuatu yang luar biasa bagi rakyat Semporna. Sebaliknya, ia menjadi simbol kepada luka lama yang tidak pernah sembuh dan masalah kebanjiran ‘pilak’ yang semakin menggugat demografi, keselamatan dan hak warga tempatan.
Rakyat Semporna mula bersuara lantang di media sosial, mempersoalkan sampai bila isu pendatang tanpa izin ini mahu dibiarkan dan siapa sebenarnya yang patut dipersalahkan. Nama yang paling banyak disebut adalah Datuk Seri Shafie Apdal.
Ketika mengetuai kerajaan negeri, Shafie yang sentiasa mengangkat slogan “Sabah untuk Sabahan” sebagai manifestasi perjuangan autonomi dan identiti negeri di bawah bayu. Namun kini, rakyat mula menyoal Sabah untuk siapa sebenarnya?
Ironinya, ketika Shafie memerintah, isu pendatang tanpa izin bukan sahaja tidak reda, malah semakin berakar. Banyak pihak mendakwa bahawa sikap “terlalu berlembut” dan “bermain politik simpati” terhadap warga tanpa dokumen menjadikan Semporna dan kawasan sekitarnya di mana undang-undang sukar ditegakkan.
Lebih parah, terdapat dakwaan bahawa kehadiran besar-besaran ‘pilak’ ini juga digunakan untuk manipulasi politik dan sokongan undi, sesuatu yang tidak asing dalam sejarah politik Sabah.
Menjelang PRN Sabah ke-17, isu ini kembali panas. Kawasan seperti Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Sandakan menjadi tumpuan kerana potensi pengaruh komuniti Suluk dan Bajau Laut terhadap keputusan pilihan raya.
Rakyat tempatan kini semakin berani mempersoalkan adakah mereka masih memiliki suara sebenar dalam menentukan masa depan negeri sendiri?
Jika kerajaan negeri gagal mengawal isu ini, ia bukan sekadar masalah imigresen tetapi krisis keyakinan terhadap integriti sistem pilihan raya dan keselamatan negeri.
Banyak komen di media sosial menggambarkan kemarahan rakyat:
“Kami ni rakyat asal Semporna, tapi rasa macam pendatang pula sekarang.”
“Kalau betul ‘Sabah untuk Sabahan’, kenapa kami yang kena bersaing dengan orang tanpa IC?”
“Shafie cakap nak bela Sabah, tapi siapa yang dia bela sebenarnya?”
Sentimen ini jelas menunjukkan rakyat semakin muak dengan retorik lama. Mereka mahu tindakan, bukan slogan.
Video tular itu bukan sekadar rakaman serbuan ia cerminan kegagalan dasar dan kepimpinan masa lalu. “Sabah untuk Sabahan” kini menjadi slogan yang berbunyi kosong, kerana realitinya Sabah terus dibanjiri oleh warga asing yang semakin berani dan tersusun.
Dalam konteks PRN Sabah ke-17, isu ini berpotensi menjadi gelombang penentu undi antara mereka yang benar-benar mahu mempertahankan Sabah dan mereka yang terus menafikan realiti pahit di lapangan.
Persoalannya, sampai bila Semporna harus menjadi mangsa?
Dan sampai bila Shafie Apdal mahu terus menafikan tanggungjawabnya?

Comments
Post a Comment