Dalam politik Malaysia, tidak ramai tokoh yang namanya sinonim dengan negeri asalnya. Tetapi apabila menyebut Sabah, satu nama pasti terlintas, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Sebut Sabah, wajah Bung terpampang. Sebut Bung, terbayang negeri di bawah bayu, negeri yang membentuk watak dan perjuangannya.
Sejak mula melangkah ke Parlimen dengan loghat pekat Sabah yang mencuit perhatian, Bung tidak pernah lari daripada identitinya. Dulu beliau sering dijadikan bahan senda, hari ini beliau berdiri sebagai antara suara paling lantang mewakili rakyat Sabah di peringkat nasional.
“Saya ini orang Sabah, jiwa saya Sabah,” ungkapan itu bukan sekadar retorik. Ia terbukti dalam perjalanan politik Bung yang tidak pernah goyah walaupun diuji dengan kekalahan, perubahan kuasa, kehilangan jawatan dan pelbagai badai politik.
Dalam dunia politik yang sarat dengan kepura-puraan, Bung bukan politikus bermusim. Ketika ramai memilih untuk berdiam diri demi selamat, Bung terus bersuara, kadang disindir, kadang dikritik, namun suaranya tidak pernah padam.
Sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, beliau menjadi antara benteng terakhir suara UMNO di negeri itu. Dalam era politik yang menyaksikan kelahiran ramai “katak” dan pengkhianatan, prinsip Bung kekal pada garis perjuangan yang sama membela Sabah tanpa kompromi.
Bagi sebahagian rakyat Sabah, Bung bukan sekadar ahli politik. Beliau adalah simbol keberanian dan ketegasan walaupun kadang tindakannya mengundang kontroversi. Namun, begitulah politik, hanya mereka yang berani menongkah arus mampu bertahan di gelanggang ini selama lebih dua dekad.
Hari ini, dalam landskap politik Malaysia yang sentiasa berubah, Bung Moktar kekal relevan. Namanya masih disebut, suaranya masih bergema, dan pengaruhnya masih terasa.
Satu hakikat tidak dapat disangkal, “Sebut Sabah, terpampang wajah Bung. Sebut Bung, terbayang Sabah”.
Jangan cuba nafikan hakikat ini.

Comments
Post a Comment