GRS Pilih PH Untuk Selamatkan Diri Dari Kes Rasuah


Alasan GRS kononnya mereka memilih Pakatan Harapan sebagai gabungan parti politik pada pilihanraya negeri Sabah ke-17 kerana kestabilan dan pragmatic adalah satu pembohongan untuk mengaburi skandal rasuah yang sedang dihadapi oleh beberapa pemimpin GRS termasuk Hajiji sendiri.

Alasan kononnya perjuangan rakyat adalah retorik, hakikatnya adalah kerana survival beberapa pemimpin tertinggi yang takut diseret ke kandang SPRM.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini menampakkan wajah sebenar, mereka sanggup menukar prinsip dan maruah negeri demi menyelamatkan diri daripada kebusukan rasuah yang semakin menanah.

Segalanya bermula sejak tahun 2020. Ketika itu, Barisan Nasional (BN) dan GRS bersetuju dalam semangat kononnya mahu membina kerajaan stabil. Namun, janji tinggal janji.


Perjanjian awal untuk tidak menamakan Ketua Menteri sebelum pilihan raya namun dikhianati apabila Parti PPBM menobatkan Datuk Seri Hajiji Noor tanpa rundingan jujur. Saat itulah pengkhianatan mula bercambah.

Belum sempat rakyat menarik nafas lega, Hajiji menunjukkan belang sebenar. Selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, beliau segera menukar portfolio Menteri Kerja Raya yang dipegang Datuk Seri Bung Moktar Radin, ini langkah yang jelas menggambarkan kerakusan kuasa dan niat untuk mengawal saluran projek mega negeri. Tidak lama selepas itu, Hajiji meninggalkan PPBM dan menubuhkan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS). Slogan “Sabah untuk rakyat Sabah” hanya kedengaran manis di bibir, tapi tindak-tanduknya membuktikan sebaliknya.

Hajiji tidak berhenti di situ. Beliau memancing ADUN-ADUN BN agar berpaling tadah demi mengekalkan kuasa. BN yang dahulu menjadi rakan sekutu kini dikhianati tanpa rasa bersalah. Sementara rakyat kian terhimpit dengan kos sara hidup, kerajaan GRS terus leka membahagi-bahagikan projek kepada kelompok sendiri.

Apabila laporan-laporan tentang penyelewengan dan projek lombong mega mula bocor, wajah sebenar GRS semakin jelas. Ada yang berpandangan, sogokan 70,000 hektar tanah lombong kepada Farhash, individu rapat dengan PMX hakikatnya bukanlah pelaburan, tetapi “tiket keselamatan”. Ia isyarat jelas bahawa GRS kini sedang membeli perlindungan politik daripada pusat.

GRS bukan memilih Pakatan Harapan (PH) kerana semangat pragmatisme atau demi kestabilan Sabah. Mereka memilih PH kerana takut pada SPRM, takut pada mahkamah, takut memakai baju oren. Pilihan itu bukan tentang masa depan rakyat, tetapi tentang masa depan peribadi mereka sendiri.

Ironinya, kelompok yang selama ini berapi-api melaungkan “tolak parti Malaya” kini sanggup mencium tangan pusat demi kelangsungan kuasa. Lebih mengejutkan, Hajiji dikatakan bersedia memberi laluan kepada calon-calon PKR untuk jawatan utama termasuk Ketua Menteri, bukti jelas bahawa beliau rela menggadaikan suara rakyat Sabah demi memastikan dirinya tidak duduk di sebalik tirai besi.

Realitinya, rakyat Sabah tidak menolak parti Malaya. Mereka menolak pengkhianatan, kerakusan dan pemimpin yang menjual prinsip demi kepentingan diri. Dan itulah wajah sebenar Hajiji hari ini, seorang pemimpin yang menukar maruah negeri dengan jaminan kebal politik.

Sabah tidak perlukan pemimpin yang pandai menipu slogan. Sabah perlukan pemimpin yang berani menghadapi kebenaran, bukan yang bersembunyi di bawah payung kuasa pusat demi melindungi jenayah yang sedang mereka hadapi.



Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.