Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, melemparkan cabaran terbuka kepada dua bekas pemimpin BN, Shahelmey Yahya (DUN Tanjung Keramat) dan Andi Muhammad Suryady Bandy (DUN Tanjung Batu) supaya membuktikan kekuatan sebenar mereka dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) tanpa sokongan dan jentera BN.
Menurut Bung, sudah tiba masanya rakyat melihat wajah
sebenar pemimpin yang dahulu dibesarkan oleh BN tetapi kini berselindung di
sebalik kuasa yang diperoleh melalui pengkhianatan.
Bung turut menegaskan bahawa BN tidak akan berdiam diri
terhadap pengkhianatan politik yang memalukan itu. Beliau menyifatkan Shahelmey
dan Andi sebagai simbol politik tanpa pendirian, yang sanggup menikam sahabat
sendiri demi kepentingan sementara.
“UMNO dan BN tidak lupa. Kami telah bersedia sepenuhnya
untuk berdepan kamu dalam PRN17 bukan sekadar untuk menang, tetapi untuk menghapuskan
legasi pengkhianatan yang mencemarkan maruah politik Sabah.”
Bung Moktar yakin, penyokong BN kini lebih bersemangat
berbanding sebelumnya, dan gelombang kebangkitan ahli akar umbi akan menjadi
penentu dalam PRN17.
“Dalam politik, pengkhianatan mungkin memberi kuasa
sementara, tetapi pengkhianat tidak akan pernah dihormati sejarah,” katanya
tegas.
Beliau turut menyeru pengundi di Tanjung Keramat dan Tanjung
Batu agar bersatu menamatkan penguasaan dua ADUN tersebut sebagai mesej jelas
bahawa rakyat tidak akan mengampuni pengkhianatan.
“Kamu yang pernah menaikkan mereka, kamu jugalah yang berhak
menjatuhkan dua pemimpin yang mengkhianati amanah rakyat dan perjuangan BN,”
katanya.

Comments
Post a Comment