Sejarah politik Sabah sentiasa berputar antara janji perubahan dan realiti pentadbiran yang akhirnya menguji kesetiaan rakyat. Kini, apabila pilihan raya negeri semakin dekat, persoalan utama kembali timbul, siapakah yang paling layak mengurus Sabah Warisan, GRS atau Barisan Nasional?
Di bawah Barisan Nasional (BN), Sabah menikmati satu tempoh panjang kestabilan politik dan pembangunan yang tersusun. Walaupun tidak sempurna, BN berjaya mengekalkan struktur pentadbiran yang jelas, hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan, serta pengurusan ekonomi yang lebih disiplin.
Projek infrastruktur besar seperti jalan raya Pan Borneo, pembangunan luar bandar, dan pembukaan peluang pendidikan tinggi menjadi antara legasi utama BN. Di bawah pentadbiran BN juga, isu keselamatan di Pantai Timur Sabah diurus dengan serius melalui penubuhan ESSCOM, bukti keutamaan terhadap keselamatan rakyat.
BN mungkin tidak gah dengan slogan “Sabah untuk orang Sabah”, tetapi realitinya, mereka berjaya mengekalkan Sabah dalam arus pembangunan nasional tanpa terperangkap dengan retorik kaum atau daerah.
Warisan pula muncul selepas kejatuhan BN pada 2018 sebagai simbol perubahan, kononnya mahu membawa wajah baharu dalam politik Sabah. Namun, selepas satu penggal mentadbir, rakyat mula menyedari hala tuju sebenar parti ini terlalu dipengaruhi oleh agenda identiti dan sentimen kaum tertentu.
Fokus melampau terhadap isu “bangsa Suluk” dan politik perkauman halus menjadikan Warisan gagal membina imej sebagai parti inklusif. Walaupun Datuk Seri Shafie Apdal berusaha menunjukkan gaya kepimpinan nasionalis, banyak dasar kerajaan Warisan dahulu tidak berakar daripada keperluan seluruh rakyat Sabah.
Kelemahan pengurusan projek pembangunan, perlantikan berasaskan kesetiaan politik, dan kejatuhan kerajaan mereka sendiri membuktikan bahawa idealisme “Sabah Baharu” hanya tinggal slogan.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilahirkan atas semangat mempertahankan kuasa, bukan atas dasar perjuangan rakyat. Parti campuran ini kini dilihat rapuh, sarat dengan konflik dalaman dan perebutan projek.
Beberapa tokoh utama GRS, termasuk pembantu menteri dan kroni, dikaitkan dengan projek mega yang mencurigakan dari lombong mineral hingga kontrak jalan raya bernilai ratusan juta.
Isu-isu seperti ketirisan bajet, kegagalan pengurusan air, dan campur tangan politik dalam agihan projek menjadikan GRS sinonim dengan “kerajaan sementara” tidak mempunyai hala tuju jelas, dan lebih banyak mengurus survival politik dan individu daripada pembangunan rakyat.
Malah, laporan bahawa Kedutaan China sendiri menegur kelemahan pentadbiran Sabah berhubung krisis air membuktikan betapa seriusnya kemerosotan tadbir urus di bawah GRS.
Jika dibandingkan secara jujur, Warisan mungkin lebih tersusun dan idealistik berbanding GRS — tetapi jauh daripada keupayaan sebenar BN dalam mengurus negeri secara strategik dan menyeluruh.
BN telah membuktikan keupayaan membina asas ekonomi, memelihara kestabilan politik, dan menyeimbangkan kepentingan negeri dengan Persekutuan. Dalam konteks Sabah, pengalaman dan disiplin politik BN masih menjadi ukuran paling stabil untuk membawa Sabah keluar daripada kitaran eksperimen politik yang membosankan ini.
Rakyat kini semakin bijak menilai, bukan siapa yang pandai berjanji, tetapi siapa yang benar-benar mampu mentadbir.
Dan dalam sejarah moden Sabah, hanya satu parti yang telah membuktikannya secara konsisten — Barisan Nasional.

Comments
Post a Comment