Mengikis ‘Agongkan Anwar’


Dalam siaran terkini podcast 'Yang Berhenti Menteri', Rafizi Ramli, kali ini bukan dengan pendedahan angka atau analisis dasar, tetapi dengan satu siri sindiran tajam dan mesej tersirat terhadap kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Rafizi secara terbuka memberi isyarat bahawa budaya ‘agongkan Anwar’ dalam kalangan ahli dan kepimpinan PKR kini menjadi beban kepada parti. Menerusi naratif yang disusun kemas, beliau memperlekehkan perbuatan segelintir pemimpin baharu seperti R. Ramanan yang terlalu ‘menjilat’ Anwar secara melampau, malah menjadikan Presiden seolah-olah maksum dan tidak boleh ditegur?

Rafizi, walaupun tanpa menyebut nama Nurul Izzah secara langsung, membangkitkan kembali peristiwa kekalahannya dalam pemilihan parti. Bagi Rafizi, kekalahan itu bukan hanya satu peristiwa peribadi, tetapi mencerminkan sistem pemilihan yang tempang penuh manipulasi, ketelusan dipertikaikan dan dikuasai oleh tangan-tangan ghaib.

Lebih penting, beliau memberi amaran kekalahan dirinya dan apa yang melatari pemilihan tersebut adalah petanda awal bahawa PKR sedang menghitung hari menuju kehancuran jika budaya ‘tokoh tunggal’ ini tidak dihentikan.

Ramai yang menyifatkan kenyataan Rafizi sebagai cubaan menghasut ahli PKR supaya menentang Anwar secara halus. Namun, di sebalik nada sarkastik dan kritikal itu, Rafizi turut membina naratif tentang hala tuju parti yang dilihat semakin menjauhi idealisme reformasi dan semakin rapat dengan gaya pentadbiran konservatif-autoritarian.

Antara doktrin yang dijalankan oleh Rafizi sekarang adalah PKR tidak boleh lagi bergantung pada aura Anwar semata-mata, lebih-lebih lagi ketika populariti Perdana Menteri itu semakin merosot di mata rakyat. Rafizi juga secara terang-terangan cuba sampaikan mesej bahawa Anwar bukan lagi seorang yang popular seperti sebelumnya. Baca di SINI dan di SINI.

Sindiran keras Rafizi terhadap Ramanan dan kelompok yang terlalu setia kepada Anwar menyingkap realiti yang lebih luas, kesetiaan membuta tuli telah menjadi penyakit dalam PKR. Tidak ada ruang untuk perbezaan pandangan. Siapa yang tidak sehaluan dianggap musuh. Siapa yang menegur dianggap pengkhianat.

Inilah yang mahu dikikis Rafizi satu bentuk pemujaan politik yang melumpuhkan dinamik dalaman parti. Baginya, parti reformasi harus meraikan pertentangan idea, bukan melahirkan pengikut yang hanya tahu mengangguk. Dan persepsi yang ditanam oleh Rafizi nampaknya berjaya kerana PKR sudah jelas wujud 2 dua kem besar iaitu kem Anwar dan kem Rafizi sendiri.

Bagi Rafizi, jika PKR mahu terus relevan menjelang PRU16, mereka perlu berhenti bersandar pada nostalgia Anwar sebagai ikon reformasi dan PKR kini melepaskan diri daripada bayang-bayang seorang pemimpin yang sudah terlalu lama berada di kemuncak tanpa pelapis yang kuat dan bebas.

Apakah doktrin Rafizi ini berjaya?



Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.