Dalam deretan kisah duka yang menyelubungi tragedi bas UPSI di Gerik, satu nama ini turut terpahat di hati rakyat, Nurly Sahirah binti Azman, seorang hafizah 30 juzuk Al-Quran yang merupakan antara korban kejadian tragik itu.
Pemergiannya bukan sahaja meninggalkan luka buat keluarga dan rakan, tetapi satu kehilangan besar buat umat yang dambakan cahaya di tengah gelap zaman.
Nurly bukan gadis biasa. Beliau adalah produk istimewa daripada Sekolah Imtiaz Besut, sebuah institusi pendidikan yang jarang wujud dalam lanskap arus perdana negara. Di sekolah ini, setiap pelajar bukan hanya diajar subjek berat aliran STEM seperti Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi, bahkan diwajibkan menghafaz kesemua 30 juzuk Al-Quran. Inilah keseimbangan pendidikan duniawi dan ukhrawi yang selama ini menjadi cita-cita, tetapi jarang berjaya direalisasikan secara menyeluruh.
Di sebalik pencapaian ini, ada sejarah yang wajar dikenang. Sekolah Imtiaz bukan dibina atas retorik semata, tetapi lahir dari visi seorang pemimpin bernama Dato’ Seri Idris Jusoh pada tahun 1996. Dari langkah awal sebagai sekolah swasta, kepada transformasi menjadi Sekolah Berasrama Penuh Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 2006, Imtiaz adalah salah satu hasil nyata dari pengurusan dana petroleum yang bijak yang menyasarkan pembangunan modal insan, bukan hanya pembinaan menara kaca.
Hari ini, bila kita menangisi pemergian Nurly, kita sebenarnya sedang meratapi hilangnya satu permata yang bersinar. Dalam tubuh kecil itu terkandung lautan hikmah, hafalan ayat-ayat Tuhan, dan semangat juang pelajar STEM yang tidak pernah menyerah. Beliau adalah lambang kejayaan pendidikan Islam moden, dan wajah sebenar harapan umat.
Tragedi ini harus membuka mata kita. Jangan biarkan satu-satunya model pendidikan seimbang seperti Imtiaz terus diabaikan hanya kerana ia tidak selari dengan naratif politik semasa. Jangan biarkan suara para huffaz yang cemerlang akademik ini tenggelam dalam hiruk-pikuk perbalahan ideologi.
Pemergian Nurly adalah kehilangan yang tidak dapat diganti, tetapi legasinya harus diperjuangkan.
Kita mahukan seribu lagi Nurly, seribu lagi anak watan yang mampu mendepani dunia dengan akal dan iman. Untuk itu, kita perlukan komitmen daripada kerajaan negeri, para pendidik, dan masyarakat sendiri untuk menyuburkan kembali tanah pendidikan yang pernah melahirkan bunga-bunga harum ini.
Al-Fatihah buat Nurly Sahirah. Hafizah muda yang syahid dalam perjuangan ilmu. Syurga menantimu, wahai cahaya Al-Quran.
Khabarnya arwah meninggal di dalam keadaan memeluk al-Quran.
Khabarnya arwah meninggal di dalam keadaan memeluk al-Quran.


Comments
Post a Comment