Zahid cadangkan KKDW rangka pembangunan belia desa

 


Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya satu pelan pembangunan belia desa dirangka bagi melahirkan golongan yang bukan hanya celik digital, malah berkemahiran serta mampu beradaptasi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, belia luar bandar adalah aset strategik negara kerana mereka bukan sekadar pewaris bangsa, tetapi juga pemacu masa depan Malaysia.

"Saya mencadangkan KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) merangka pembangunan belia desa, belia yang bukan hanya celik digital, tetapi juga berpendidikan, berkemahiran dan mampu beradaptasi dalam apa jua keadaan.

"Saya mahu suatu hari nanti lahirnya hab gig desa yang membuka peluang pekerjaan baharu, lahirnya duta belia desa yang menjadi suara generasi baharu serta terbinanya program pertukaran belia desa ASEAN yang membawa belia kita untuk menimba ilmu dan pengalaman di pentas antarabangsa," katanya.

Berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW di sini hari ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata belia terutama di luar bandar memerlukan bimbingan dan sokongan supaya mampu bergerak melangkaui batas dalam dunia yang penuh ketidaktentuan.

"Saya serahkan kepada pihak kementerian untuk mencorak dan mewarnainya dengan membabitkan semua agensi di bawah KKDW melalui satu platform atau jawatankuasa.

"Yang penting matlamat kita jelas, saya mahu belia desa Malaysia mampu meneroka dunia, melangkaui sempadan dan bersaing gagah di pentas global," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid mahu KKDW mewujudkan jadual prestasi bulanan yang lengkap, menyeluruh dan telus sebagai panduan dalam memperkemaskan lagi gerak kerja mereka.

"Kita mesti bergerak berdasarkan data, mendahului cabaran, memimpin dengan maklumat dan menjawab dengan keyakinan. Percayalah, saya tidak mampu melakukannya seorang diri.

"Hanya dengan kekuatan bersama, kita mampu memperkukuh keyakinan rakyat dan memastikan setiap usaha yang dicurahkan benar-benar membawa pulangan besar kepada bangsa dan negara," katanya.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.