Polis buru 5 penyamun

 

KAJANG: Polis sedang mengesan lima penyamun yang menyamar sebagai anggota polis dan menyamun sebuah kediaman di sekitar Semenyih di sini, Ahad lalu. 

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata kejadian jam 5.02 pagi ketika mangsa seorang pesara berusia 55 tahun berada di rumah bersama tiga ahli keluarga yang lain. 

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek memakai pelitup muka dan dua daripada mereka memakai vest polis masuk ke rumah mangsa. 

"Suspek memecah pintu hadapan sebelum masuk dan melarikan dua telefon bimbit dan wang tunai kira-kira RM500," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu kejadian itu tular selepas rakaman CCTV berkenaan dimuat naik di media sosial memaparkan sekumpulan lelaki di mana antara mereka ada yang memakai vest polis cuba memecah masuk kediaman terbabit dan salah seorang daripada mereka dilihat menendang pintu rumah terbabit. 

Mengulas lanjut Nazron berkata, kerugian keseluruhan dianggarkan berjumlah RM9,000 dan satu operasi khas digerakkan bagi menjejak individu-individu terbabit. 

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (merompak berkumpulan) dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai polis. 

"Pihak polis menyeru supaya orang awam atau individu yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini menghubungi mana-mana balai polis berdekatan. 

"Maklumat juga boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat kes Inspektor Ghazali Zulkifli di talian 016-9140758 bagi membantu siasatan," katanya.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.