UCAPAN YAB DATO’SERI DR AHMAD ZAHID BIN HAMIDI PRESIDEN UMNO
Ya Allah… Kami menzahirkan kesyukuran padaMu kerana Engkau masih meminjamkan nafas dan kekuatan kepada kami untuk terus memuliakan perjuangan, menjaga warisan serta membela agama, bangsa dan watan.
Ya Allah… UMNO yang kini memasuki 79 tahun usia perjuangan. Meskipun diuji dengan badai cabaran dan ribut ujian. Legasi ini kami sambung dan pertahankan. Berkat kebersamaan dan kesetiaan.
Ya Allah… Kau kurniakan hikmah dan kesabaran buat kami untuk terus melandai perjuangan. Peliharalah daripada fitnah dan perpecahan. Bantulah kami untuk menyusun kekuatan sehingga beroleh kemenangan… Aamiinn ya Rabbal A’lamin…
Sebelum saya meneruskan bicara, marilah bersama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada seluruh pejuang UMNO yang terdahulu pergi - khususnya buat negarawan ulung Tun Abdullah Ahmad Badawi – seorang nakhoda perjuangan yang telah mengemudi bahtera parti ini dengan penuh bijaksana, penuh hikmah dan penuh setia. – Al-Fatihah
Alhamdulillah, hari ini kita masih dikurniakan nafas untuk bersama-sama meraikan wadah perjuangan, memuliakan sebuah warisan agung yang telah sekian lama menjadi roh umat Melayu, nadi bangsa, dan jiwa tanah air tercinta.
UMNO, parti keramat ini, kini melangkah gagah menuju usia 79 tahun - satu perjalanan panjang yang tidak dihampari hamparan sutera, tetapi dilapisi onak dan duri; disulam dengan titisan keringat, darah, dan air mata.
Namun, UMNO masih di sini atas kesetiaan para ahli - dari desa ke kota, dari cawangan ke bahagian, dari pucuk pimpinan, Wanita, Pemuda, Puteri hingga Veteran, kalian semua lah yang sentiasa menjadi pohon rendang, memayungi harapan sebuah generasi.
Atas segala kesetiaan dan istiqomah terhadap perjuangan, saya rakamkan di sini setinggi-tinggi penghargaan ikhlas dari lubuk hati. Kesetiaan dan pengorbanan kalian umpama tiang seri yang menjadi teras dan tunggak perjuangan bangsa ini.
KEDINAMIKAN SIFAT POLITIK HARI INI
Sepanjang hampir lapan dekad perjuangannya, UMNO tidak pernah sunyi daripada ujian dan badai. Hari ini, kita berdepan pelbagai cabaran – cabaran yang menggugah sendi perjuangan. Antara cabaran besar yang kini kita hadapi adalah :
Pertama, bagaimana UMNO perlu memulihkan kepercayaan rakyat terhadap politik dan parti, setelah gelombang persepsi negatif, fitnah dan pembohongan telah berjaya disemai sejak PRU-14 lagi.
Kedua, bagaimana kita mesti mengukuhkan kembali kekuatan dalaman parti yang telah dilukai oleh perpecahan dan pengkhianatan — satu tuntutan yang menagih hikmah dan kebijaksanaan, bukan emosi yang membakar diri.
Ketiga, mampukah UMNO menyesuaikan pendekatan perjuangan agar selaras dengan kehendak generasi baharu — sebuah generasi yang lahir dalam lanskap politik yang serba lain, dan serba tahu.
Lebih rumit lagi, kita kini berlayar di tengah samudera politik masa kini yang sifatnya sukar diramal, terbuka dan amat dinamik. Mengapa saya katakan politik hari ini sifatnya begitu dinamik?
Kerana pertama, tiada lagi parti dominan seperti era sebelum PRU-14. Jika dahulu UMNO menjadi paksi utama kestabilan politik negara, hari ini, kita berdepan realiti ketidaktentuan; parti-parti politik terpaksa bergabung, berunding, berkongsi kuasa untuk membentuk Kerajaan.
Kedua, rakyat hari ini semakin terbuka, semakin kritikal. Kebergantungan mereka terhadap parti politik kian luntur, hingga wujudnya defisit kepercayaan (trust deficit) yang terbit daripada imej pemimpin yang sering berbalah, berjanji kosong, dan menghindari kepentingan rakyat.
Ketiga, generasi pengundi masa kini, Gen Z dan Alpha, hadir dengan sudut pandang yang berbeza, pandangan yang diasuh dan dibentuk oleh garis masa media sosial… bukan lagi oleh retorik lama yang kian pudar maknanya. Naratif sejarah tidak lagi mencengkam emosi mereka, yang mereka dambakan ialah masa depan yang menjanjikan harapan kepada diri dan tanah air mereka.
UMNO PRAGMATIK
Dalam meniti arus perubahan zaman yang kian mencabar, kita harus akui satu hakikat bahawa UMNO tidak boleh statik. Tidak boleh lagi bergantung pada pendekatan lapuk dalam mendepani kedinamikan lanskap politik. Justeru, UMNO.. mesti pragmatik.
Kita perlu berani menyesuaikan strategi, pendekatan, dan gerak kerja seiring dengan realiti politik baharu. Dua PRU memperlihatkan keputusan yang tidak memihak kepada mana-mana pihak dan telah menghadirkan situasi politik yang tergantung - seakan-akan menahan nafas negara di persimpangan.
Namun, dengan jiwa yang besar dan tanggungjawab nasional yang tinggi, UMNO memilih langkah kenegaraan untuk bersama membentuk Kerajaan Perpaduan.
Langkah ini bukan demi mengejar kepentingan sempit, tetapi demi memastikan keindukan Islam terus terpelihara, hak serta kepentingan Melayu dan Bumiputera terus terbela, institusi Raja-raja Melayu terus didaulatkan, bahasa Melayu terus dinobatkan, dan lebih besar lagi — demi menyelamatkan negara daripada belenggu krisis politik yang berpanjangan
Melepasi 30 bulan, ekonomi negara kembali bernafas segar, indeks pelaburan asing melonjak memberangsangkan, hubungan diplomatik Malaysia di peringkat ASEAN dan antarabangsa semakin erat, projek pembangunan rakyat kembali rancak, kos sara hidup diberi perhatian, bahkan imej Malaysia kembali pulih sebagai negara yang stabil, berdaya saing, dan dihormati.
Di situlah letaknya kekuatan UMNO — apabila kesatuan diperkukuh, UMNO pasti tampil terkehadapan. UMNO bukan sekadar gah sebagai sebuah parti politik, tetapi berdiri sebagai Jurutera Perkongsian Kuasa dalam dinamika politik yang mendamba kestabilan.
UMNO tidak pernah bersendiri. 1955, bersama MCA dan MIC melalui Perikatan – dipasak lagi kekuatan pada 1974 dengan pembentukan Barisan Nasional. Dalam kita terus mempertahankan prinsip parti, kita memupuk kepercayaan dan saling hormat.
Inilah DNA politik UMNO politik kesederhanaan yang menolak ekstremisme, politik integrasi yang menolak retorik perkauman, politik kestabilan yang menolak perpecahan.
Dalam dunia yang sarat dengan perpecahan dan prasangka, ketika ada pihak yang bersemangat meniupkan api ekstremisme di segenap lapisan, UMNO mesti teguh sebagai nakhoda politik kesederhanaan – kerana melaluinya UMNO akan kembali menjadi sandaran bukan hanya buat bangsa Melayu tetapi buat seluruh rakyat.
Tetapi.. pesan saya buat kawan atau lawan, jangan meragui kepercayaan dan jagalah batas sempadan. Api kecil yang dijaga rapi, jika dikhianati, akan menjulang menjadi bara; bila ia marak, panasnya tak tertahan, nyalanya tak terelak – bimbang ia membakar semua.. tanpa memilih rupa dan badan.
MEMPERKUKUH DALAMAN, MENCIPTA KEMENANGAN
Ya, kita sudah mula menyaksikan tanda-tanda kebangkitan. Allah SWT mengurniakan kita kemenangan di Nenggiri, Mahkota, dan Ayer Kuning. Kemenangan ini adalah milik seluruh jentera yang berjuang tanpa mengenal lelah — di medan hadapan mahupun di balik tabir. Pada saya, kalianlah tunjang kekuatan parti; di sini saya zahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan penghormatan.
Namun ingatlah, kita tidak boleh leka dengan kemenangan kecil, kerana medan peperangan yang jauh lebih besar sedang menanti di hadapan. Kita mesti melangkah ke medan perang dengan naratif yang lebih segar, komunikasi yang lebih strategik, dan gerak kerja yang lebih tajam, lebih tuntas, lebih berani.
PRN Sabah bakal membuka gelanggangnya, disusuli PRN Melaka, PRN Johor, dan akhirnya, perang besar yang bakal menentukan nasib dan masa depan negara — PRU ke-16.
Janganlah ada di antara kita yang bersengketa, apatah lagi terbuai dalam jerat persepsi dan sentimen yang hanya melemahkan parti.
Mungkin sudut pandang kita berbeza,tetapi bergeraklah senada, kerana di situlah kunci untuk mengembalikan sokongan rakyat semula.
MEMBETULKAN PERSEPSI, MENEGASKAN PRINSIP
Saya sedar, keputusan kita untuk membentuk Kerajaan Perpaduan selepas PRU ke-15 masih menjadi bahan tohmahan dan percakapan. Ada yang mempertikai keikhlasan kita, bahkan ada yang menghasut rakyat dengan naratif bahawa UMNO kini tunduk kepada DAP.
Hakikatnya, ini bukan persekongkolan eksklusif. Ini adalah keputusan kenegaraan. Kerajaan Perpaduan hari ini dibentuk oleh 18 parti politik meliputi Barisan Nasional, Pakatan Harapan, GPS, GRS, Warisan dan lain-lain. Ia adalah kerjasama lintas sempadan demi menjamin kestabilan.
Dan kepada mereka yang ghairah meniupkan sentimen agama dan perkauman, ingatlah — merekalah juga yang pernah bergandingan dengan DAP dalam Barisan Alternatif, juga Pakatan Rakyat, hampir sedekad lamanya. Mereka jugalah yang membentuk kerajaan bersama DAP demi menjatuhkan kita pada PRU 2018, malah sanggup melanggar prinsip dengan menggunakan logo Keadilan.
UMNO tidak pernah membenarkan ahlinya bersolat di hadapan pejabat DAP, UMNO juga tidak pernah menobatkan mana-mana pemimpin DAP setinggi maqam Khalifah Umar Abdul Aziz. Lebih ironi, ketika UMNO bekerjasama dengan MCA dan MIC, kita juga pernah dikafirkan. Hari ini, mereka meniru model yang sama, tetapi berselindung di sebalik retorik agama. Inilah hipokrasi politik yang sebahagian daripada kita mula termakan.
Namun saya tahu, masih ada di antara kita yang hatinya diselimuti keraguan. Masih ada yang terbuai dalam alunan sentimen dan bisikan. Saya mohon kepada seluruh ahli dan pimpinan UMNO berhentilah menanam syak wasangka, bangkitlah memperteguh kepercayaan.
Yakinlah, segala keputusan besar yang diambil bukan berdiri atas satu bahu semata. Ia lahir daripada musyawarah kolektif, daripada jiwa kepimpinan yang memikirkan untung nasib parti ini. Setiap keputusan pasti mendatang cabaran, pasti ada yang tercalar, pasti ada yang tercela - tetapi percayalah, selagi hayat dikandung badan, keutamaan parti tidak akan kami robekkan, maruah perjuangan tidak akan kami khianati selagi kepercayaan.. kalian semua berikan.
3 WASILAH POLITIK UMNO
Di penghujung bicara ini saya mahu kita pulang ke Bahagian untuk mengambil pendekatan baharu dan menginsafi perubahan arus perjuangan serta pemikiran rakyat.
Kita tidak boleh terus selesa dengan naratif semalam untuk menjawab cabaran hari ini. Saya mahu UMNO bangkit sebagai parti masa hadapan – menjadi gerakan politik yang mengamalkan :
WASILAH PERTAMA: POLITIK SOLUSI - Rakyat hari ini mahu mendengar resolusi yang praktikal, mahu melihat UMNO berbicara tentang isu sebenar hidup mereka. Kejayaan kita dalam PRK membuktikan satu perkara penting: rakyat kini lebih selesa mendengar solusi yang menyentuh kehidupan mereka daripada terus dihujani retorik politik yang semakin memualkan di telinga mereka.
WASILAH KEDUA: POLITIK LEGASI - UMNO tidak boleh diwariskan hanya atas nama, tetapi sebagai nilai dan kepimpinan. Kita mesti melahirkan pewaris berkualiti — generasi muda, wanita, profesional — yang berani, berwibawa, dan berfikir kritikal.
Dalam konteks ini, saya ingin merakamkan tahniah kepada para graduan Sekolah Patriotik UMNO, yang hari ini konvokesyen mereka serentak dengan Perhimpunan ini. Merekalah tanda bahawa UMNO sedang membina barisan pewaris yang faham akar sejarah perjuangan bangsa.
WASILAH KETIGA: POLITIK MODERASI - Dunia hari ini sarat dengan tribulasi dan polarisasi, dipenuhi politik ekstrem dan retorik pemecah belah. UMNO tidak boleh terjebak dalam perlumbaan siapa lebih radikal; sebaliknya, UMNO mesti kekal sebagai parti pertengahan yang matang, waras, dan menyatukan. Inilah politik pertimbangan, kestabilan, dan harapan yang mesti kita semat dalam kita memimpin negara bangsa.
Sudah sampai masanya kita semua, ahli UMNO, duduk merenung dengan jujur dan ikhlas. Merenung nasib parti keramat ini… merenung kelangsungan bangsa ini.
Melakukan introspeksi bersama — memikirkan apa akan jadi kepada UMNO jika kita terus terbelenggu oleh emosi.
Renungkanlah. Jika keputusan membentuk perpaduan tidak dilakukan, mampukah UMNO berdiri teguh seperti yang kita saksikan hari ini? Masihkah UMNO relevan di mata pewaris muda, jika pengkhianatan terdahulu terus dibiarkan demi kerakusan kuasa? Mampukah UMNO kekal hidup, jika anjakan tidak kita lakukan bersama-sama?
Serumpun bak serai, sesusun bak sirih; bukit sama didaki, lurah sama dituruni. Ya Allah, ya Tuhanku, kami serahkan segalanya pada-Mu — demi agama, bangsa, dan ibu pertiwi.
Sekian.
11 MEI 2025 (AHAD) 10.00 PAGI
DEWAN TUN HUSSEIN ONN



Comments
Post a Comment