Mengandaikan jawatan Timbalan Presiden PKR adalah ‘jawatan penting di peringkat kerajaan pusat’ adalah satu naratif yang salah.
Kedudukan Timbalan Presiden PKR jauh bezanya dengan keberadaan Timbalan Presiden UMNO kerana kerajaan Barisan Nasional tidak seperti terbentuknya Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan Madani.
Tidak perlu huraian terperinci. Kerajaan Madani adalah hasil penggabungan 19 parti politik selepas PRU15 apabila tiada satu parti politik atau gabungan yang masuk bertanding mendapat majoriti untuk menubuhkan kerajaan.
Mengangkat atau melabelkan Nurul Izzah sebagai mempunyai pakej sempurna untuk dinobatkan sebagai pemimpin nombor dua PKR adalah tahap membodek yang boleh merosakkan parti PKR itu sendiri.
Kelibat Nurul Izzah di beberapa siri lawatan Anwar tidak boleh dijadikan kayu pengukur kerana sebagai Perdana Menteri, Anwar boleh jemput siapa sahaja untuk bersama rombongannya.
Hanya kerana muncul sekali di satu temubual di sebuah negara, maka terus Nurul Izzah dijulang sebagai pemimpin yang hebat di pentas dunia adalah cara yang salah.
Sesi temubual boleh dirancang dari awal dan jika dibuat secara spontan pun ianya tidak lebih dari sesi temubual biasa dan boleh berlaku di mana sahaja.
Penyokong Nurul Izzah perlu lebih rasional, jika apa-apa berlaku kepada Anwar Ibrahim pada saat ini seperti sakit atau meninggal dunia, pengganti bagi jawatan Perdana Menteri bukannya datang dari Timbalan Presiden PKR.
Apabila berlebih membina naratif, akhirnya parti PKR dan keluarga Anwar juga akan menerima kesan yang tidak baik.
Sekarang ini pun telah gegak gempita, jika anak pemimpin UMNO dilantik menjadi pegawai khas kepada ayahnya(anda cari kes yang mana), hiruk pikuk sawan babi dibuatnya dan akhirnya si ayah terpaksa memecat anaknya.
Lihat dari sudut positif apa yang sedang dibuat oleh Rafizi sebagai Menteri Ekonomi sekarang. Beliau amat tenang menerima kecaman akibat manifesto Pakatan Harapan yang tidak dapat ditunaikan namun beliau konsisten mencari jalan untuk meletakkan ekonomi Malaysia dan ekonomi rakyat di tempat yang lebih baik.

Comments
Post a Comment