Rusuhan di restoran sekitar Bukit Bintang, Pempengaruh media sosial ditahan

 

Gambar Hiasan

Kuala Lumpur: Polis menahan 11 lelaki termasuk pempengaruh media sosial selepas terbabit dalam rusuhan di restoran di Bukit Bintang, di sini, selepas perlawanan tinju.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pada 12.45 tengah malam,26 Februari lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menerima satu laporan polis berhubung kejadian rusuhan dalam kalangan penyokong satu perlawanan tinju membabitkan pempengaruh media sosial bertempat di sebuah restoran.

Menurutnya, bertindak atas laporan polis itu, pihak polis menahan 11 lelaki berusia antara 17 sehingga 28 tahun untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan. Kesemua tangkapan direman selama dua hari mulai 26 hingga 27 Februari lalu bagi siasatan lanjut.

"Kesemua tangkapan diberikan jamin polis dan pihak polis akan merujuk kertas siasatan ke pejabat Timbalan Pendakwaraya Kuala Lumpur untuk keputusan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, justeru, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang.

"Tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak yang terlibat," katanya.


Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.