Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin mengumumkan PAS akan bertanding sekali lagi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Perak.
Ini kerana katanya, PAS telah menyasarkan kerusi itu sebelum ini.
"Walaupun kita kalah sebelum ini, kita tidak akan buat sebarang perubahan. Biar kekal parti sama (untuk mewakili PN).
"Kami akan berikan sokongan penuh," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur seperti dilaporkan FMT.
Kerusi DUN Ayer Kuning kosong selepas penyandangnya dari Umno, Ishsam Shahruddin, 58, meninggal dunia akibat serangan jantung ketika bermain bola sepak pada Ahad lalu.
Isham memenangi kerusi tersebut dalam pertandingan lima penjuru dengan memperoleh majoriti 2,213 undi, mengatasi pencabarnya iaitu Dr Mohd Nazri Hashim (Amanah), Muhammad Noor Farid (PAS), Bawani KS (PSM), dan Maziah Salim (Pejuang).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 7 Mac ini bagi menentukan tarikh PRK berkenaan.
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, berkata parti itu akan meletakkan calon yang mempunyai peluang untuk menang di kerusi berkenaan.

Comments
Post a Comment