Tindakan undang-undang perlu dikenakan pada penjual jagung bakar

 


Tindakan menghina antara kaum perlu dikenakan tindakan undang-undang, kata Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh.

Menerusi satu kenyataan di media sosial, dia yang juga adalah Adun Merlimau berkata, tindakan seumpama itu tidak boleh dibiarkan dengan hanya berakhir dengan memohon maaf sahaja.

“Tidak kira siapa pelakunya,tindakan undang-undang perlu dikenakan agar menjadi pengajaran kepada pihak yang lain.

“Kalau tidak, budaya sebegini yang buat dulu lepas tu minta maaf akan semakin berleluasa dan semakin mudah golongan-golongan ini terlepas!” katanya.

Hujung minggu lalu, satu rakaman video tular di media sosial selepas seorang penjaja tepi jalan didapati meletakkan notis berunsur perkauman di atas meja yang digunakan untuk menjual jagung bakar.

Insiden tersebut dikatakan berlaku di Kota Warisan, Sepang dengan penjaja terbabit meletakkan notis berbunyi:

"Sorry, ini jagung tiada jual sama orang keling."

Perkataan keling merupakan istilah menghina yang digunakan terhadap masyarakat India.

Video itu mengundang rasa berang pelbagai pihak yang mahu tindakan segera diambil.

Sementara itu dalam satu rakaman video yang disiarkan oleh Astro Awani penjual jagung yang meletakkan papan tanda berunsur perkauman itu tampil memohon maaf atas kesilapannya itu.

Dia yang dikenali sebagai Abdul Aziz Musa berkata, perbuatan itu sama sekali tidak berniat untuk menghina kaum India.

“Saya sebagai peniaga kecil akui poster itu menyinggung perasaan, perkataan tidak elok. Saya mengaku bersalah dan saya minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia terutama sekali kepada kaum India.

“Saya minta kerjasama kepada pembeli untuk sokong peniaga, benda ini berlaku tanpa niat, saya tidak sangka jadi begini, ini tanpa kesedaran dan perbuatan saya ini memang salah, sekali lagi saya mohon orang India, Cina, Melayu, maafkan saya,” katanya.

Permohonan maaf itu dibuat pada malam semalam di Sepang melalui pertemuan diatur pemimpin Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang menjadi pengantara dalam menyelesaikan polemik ini agar perpaduan negara kekal harmoni.


Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.