Tidak perlu kebenaran pemilik tempat perhimpunan

 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini memberitahu Dewan Rakyat, kerajaan bersetuju untuk meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 dengan menghapuskan syarat bagi penganjur perhimpunan mendapatkan kebenaran pemilik tempat perhimpunan diadakan.

Anwar berkata pindaan itu akan memudahkan mana-mana kumpulan yang berniat untuk mengadakan perhimpunan aman.

“Ini bermakna keperluan untuk mendapatkan kelulusan daripada pemilik premis, seperti yang disebut di bawah beberapa seksyen, akan dipinda dan diketepikan.

“Seksyen 11 akta yang memerlukan kelulusan daripada pemilik premis atau penduduk, yang dipertikaikan sekarang, ini akan dikeluarkan daripada peraturan sedia ada,” kata Anwar semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun menurut perdana menteri, penganjur perlu memaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai rancangan mereka dalam tempoh lima hari sebelum perhimpunan diadakan.

Katanya langkah itu ditetapkan supaya pihak berkuasa boleh menjaga keselamatan, kawalan dan lalu lintas di kawasan terbabit.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menjelaskan pindaan tersebut dijadualkan dibuat pada sesi parlimen yang akan datang.

“...dengan ini, beberapa tindakan sebelum ini termasuk umpamanya siasatan terhadap perhimpunan antirasuah yang melibatkan mahasiswa, akan dihentikan dan tidak akan ada tindakan yang diambil.

“Begitu juga tentang mogok lapar dan bantahan atau tunjuk perasaan (berhubung) Sosma (Akta Kesalahan Keselamatan [Langkah-Langkah Khas] 2012) beberapa hari lepas juga, tidak akan diambil apa-apa tindakan,” katanya.


Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.