Asmar Asmadi Abdullah Sani, 49, yang ketika itu TKSUS kepada
Muhyiddin selaku Perdana Menteri berkata, terdapat juga beberapa individu
berjumpa secara terus dengan Muhyiddin berhubung permohonan projek berkenaan
sebelum berjumpa dengan beliau.
"Perjumpaan dengan saya adalah untuk menyerahkan
surat-surat permohonan atau minit yang diminitkan oleh Tan Sri Muhyiddin
berserta profil syarikat.
"Antara individu saya jumpa ialah Datuk Hishamuddin
Abdul Karim yang mewakili Datuk Wan Saiful. Datuk Hishamuddin berjumpa dengan
saya di pejabat saya di TKSUS, Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, untuk
menyerahkan dokumen-dokumen (berkaitan permohonan projek) sekitar 2021,"
katanya.
Saksi pendakwaan ke-19 itu berkata demikian ketika
membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes Wan Saiful yang juga bekas
Ketua Penerangan Bersatu, yang berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram dan
dua pertuduhan rasuah berhubung projek Jana Wibawa.
Asmar Asmadi, yang kini bertugas sebagai Setiausaha
Bahagian, Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik Kementerian Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, sebelum ini beliau tidak mengenali
Hishamuddin dan mula kenal individu terbabit pada Mac 2021.
"Semasa beliau datang berjumpa dengan saya di pejabat
Perdana Menteri pada masa itu, seingat saya, pada mulanya saya enggan berjumpa
kerana saya tidak mengenali beliau langsung dan setahu saya, saya tidak ada
apa-apa urusan dengan beliau.
"Setelah beliau memperkenalkan diri beliau iaitu Datuk
Hishamuddin yang merupakan wakil kepada Datuk Wan Saiful, saya kemudian
memaklumkan kepada Datuk Hishamuddin bahawa saya perlu mendapatkan pengesahan
daripada Tan Sri Muhyiddin. Perjumpaan antara saya dengan Datuk Hishamuddin
berlaku dalam tempoh singkat iaitu lebih kurang 15 minit," kata saksi
semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Siti Amirah Muhammad
Ali.
Asmar Asmadi berkata, selepas beberapa hari, Hishamuddin
berjumpa sekali lagi dengan beliau bertanyakan mengenai status permohonan
syarikat berkaitan dengan program Jana Wibawa yang dibawa oleh Wan Saiful
ketika berjumpa dengan Muhyiddin.
"Kalau tidak silap saya, Datuk Hishamuddin ada
memberitahu kepada saya nama syarikat tersebut adalah MCS Management Sdn Bhd.
Saya telah membuat semakan ke atas nama syarikat tersebut di pejabat dan saya
dapati ia diluluskan tetapi secara prakelayakan sepertimana catatan minit milik
Tan Sri Muhyiddin bertarikh 4 Mac 2021 pada surat permohonan syarikat MCS
Management tersebut," katanya.
Saksi itu turut mengesahkan surat permohonan daripada
syarikat MCS Management yang dialamatkan kepada Muhyiddin bagi mendapatkan
projek Projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur
secara rundingan terus.
"Surat inilah yang dimaksudkan oleh Datuk Hishamuddin
semasa berjumpa dengan saya. Datuk Hishamuddin telah memaklumkan kepada saya
bahawa surat ini adalah surat minat yang telah dibawa oleh Datuk Wan Saiful
berjumpa dengan Tan Sri Muhyiddin bagi mendapatkan projek Jana Wibawa.
"Saya memaklumkan sekali lagi kepada Datuk Hishamuddin,
sepertimana arahan diterima daripada Tan Sri Muhyiddin dan juga Menteri
Kewangan supaya setiap pemohonan kelulusan projek secara prakelayakan, ia
perlulah lengkap dengan permohonan lima syarikat dan barulah akan dihantar
kepada Datuk Wan Murtadza Wan Mahmud yang ketika itu Setiausaha Sulit Kanan
(SUSK) kepada Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz)
untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Asmar Asmadi berkata, beliau kemudian menerima lima surat
permohonan untuk memohon tender secara parakelayakan bagi melaksanakan projek
Central Spine Road daripada pembantu peribadinya ketika itu, Rajmah Mohd Jamal.
Menurutnya, surat permohonan itu adalah daripada syarikat
MCS Management Sdn Bhd, MK Services Sdn Bhd, CKJ Engineering & Services Sdn
Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan MZ Hakujaya Sdn Bhd dan surat-surat terebut telah
dihantar oleh Hishamuddin kepada Rajmah.
Bagaimanapun, saksi berkata, beliau tidak tahu
syarikat-syarikat yang dibawa oleh Hishamuddin milik siapa kerana beliau hanya
menguruskan senarai-senarai syarikat yang diminitkan dan diarah oleh Muhyiddin
sahaja dan tidak terlibat langsung dalam proses permohonan awal daripada
syarikat-syarikat.
Sementara itu, peguam Amer Hamzah Arshad, yang mewakili Wan
Saiful membantah beberapa perenggan yang menyebut nama Muhyiddin dan anak
guamnya atas dakwaan keterangan itu hanya dengar cakap 'hearsay', namun TPR
Siti Amirah dan Dr Ifa Sirrhu Samsudin berkata keterangan itu bukan 'hearsay'
dan mahkamah perlu memberi peluang kepada saksi pendakwaan untuk membaca
pernyataan saksinya.
Hakim Rosli Ahmad kemudian berkata, pihak peguam boleh
menyoal balas saksi berkenaan dan menetapkan 24 Feb ini untuk menyambung
perbicaraan.
Wan Saiful, 49, didakwa meminta suapan wang daripada Lian
Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek
Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada
kerajaan Malaysia, secara prakelayakan bernilai RM232 juta.
Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54
melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd
daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah
membantu syarikat itu mendapatkan surat setuju terima (SST) bagi projek
terbabit.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Royal Lake
Club, Taman Tasik Perdana di sini pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad
Cawangan Bukit Tunku antara 8 Julai hingga 30 Sept 2022.
Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang
haram membabitkan RM5.59 juta, dengan memindah dan menggunakan wang hasil
aktiviti haram itu, antaranya bagi membayar pembelian kenderaan jenis Ford
Ranger di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini, antara 12 Ogos dan 13
Nov 2022. - Bernama

Comments
Post a Comment