SEMUA pihak mempertikaikan keikhlasan PAS menghidupkan semula kerjasama dengan UMNO memandangkan ianya bersyarat. PAS bawa naratif tersebut dengan syarat berlaku perubahan dalam kepimpinan parti terutamanya Presiden.
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, secara jelas menyatakan bahawa kepimpinan Zahid Hamidi menjadi penghalang utama kepada kerjasama PAS-UMNO, sekali gus memberi gambaran bahawa seorang pemimpin baharu dalam UMNO boleh membuka jalan kepada penyatuan semula.
Umum mengetahui PAS mempunyai sejarah kerjasama politik yang oportunis, sering bertukar pakatan (BN, Muafakat Nasional, Perikatan Nasional) berdasarkan kepentingan politik semasa tanpa pegangan prinsip yang jelas.
"PAS bukan rakan kongsi yang boleh dipercayai tetapi hanya bertindak mengikut keperluan politik."
Naratif menghidupkan kerjasama bersama UMNO menunjukkan PAS cuba meletakkan dirinya sebagai penyatu sebenar kepentingan Melayu-Islam, sambil secara halus mendesak UMNO supaya mempertimbangkan perubahan kepimpinan.
Ianya dilihat sebagai naratif "jahat" untuk menanam idea di kalangan akar umbi UMNO dan pengundi atas pagar bahawa PAS sedia untuk kembali bekerjasama, tetapi dengan syaratnya buang Presiden. Mereka cuba mengajar ahli UMNO untuk lebih membenci kepimpinan parti
Para penganalisis politik berpendapat jika PAS benar-benar ikhlas dalam usaha penyatuan, mengapa perlu menetapkan syarat perubahan kepimpinan UMNO? Ini membuktikan bahawa PAS bukan ikhlas, tetapi ingin campur tangan dalam hal dalaman UMNO.
Mungkin PAS tercabar dengan pendirian UMNO yang kekal konsisten dalam kerajaan perpaduan, memberi fokus kepada pembangunan ekonomi, tadbir urus yang baik, dan kestabilan jangka panjang untuk orang Melayu dan negara. Mereka bukan bercakap soal retorik agama dan perkauman.
Hakikatnya, tiada sebab untuk UMNO tolak Zahid sebagai presiden. Beliau telah berjaya kekalkan UMNO sebagai pemain politik utama negara dan telah pertahankan kepentingan Melayu-Islam dalam Kerajaan Perpaduan
Apa yang pasti, PAS dilihat mahu lemahkan UMNO. Niat mereka bukan untuk kerjasama. Sebenarnya tawaran PAS adalah muslihat politik. Jangan biarkan ular patuk dilubang yang sama dua kali.

Comments
Post a Comment