Perempuan samun warga emas di tangga rumah

 


Seorang wanita warga emas berusia 72 tahun cedera dan mengalami kerugian kira-kira RM10,000 selepas disamun seorang perempuan di sebuah rumah di Felda Chalok Rahmat, Bandar Permaisuri, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Setiu Supt Mohd Zain Mat Dris berkata ketika kejadian sekitar jam 1.15 tengah hari itu, mangsa didatangi suspek yang berpura-pura bertanya tentang rumah untuk disewa.

“Mangsa yang ketika itu berada di tangga rumahnya memberi tahu ada rumah untuk disewa, sebelum suspek meminta untuk melihat rumah tersebut.

“Mangsa yang mempunyai masalah penglihatan tidak jelas kemudian dipimpin suspek ke rumah sewa untuk melihat keadaan rumah berkenaan.

“Apabila berada di situ, perempuan terbabit mengajak mangsa duduk atas katil sebelum warga emas berkenaan direbahkan dan mukanya ditekup dengan kain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zain berkata apabila mangsa bergelut untuk melawan, suspek memukul dahi warga emas berkenaan menggunakan serpihan batu .

Suspek kemudian mengambil rantai emas berloket dan melarikan diri.

Mohd Zain berkata kejadian disedari jiran apabila mendengar bunyi bising di hadapan rumah mangsa dan mendapati warga emas itu dalam keadaan berlumuran darah. Dia kemudian dihantar ke Hospital Setiu untuk rawatan.

“Polis sedang giat mengesan suspek yang dianggarkan berusia sekitar 30-an,” katanya sambil memberitahu mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah selepas menerima rawatan.

- Bernama


Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.