Pemuda DAP tolak cadangan Pemuda UMNO perkenalkan semula GST

 



Setiausaha Pemuda DAP, Lim Chun Weng menolak cadangan Ketua Pemuda Umno, Muhamad Akmal Saleh untuk memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menurutnya pelaksanaan semula GST tidak sesuai pada masa ini kerana hanya akan membebankan golongan miskin.

“Ya benar, GST ini merupakan sistem cukai yang lebih berkesan dan adil kerana tiada sesiapa yang boleh terlepas daripada membayar cukai ini.

"Akan tetapi GST ini merupakan regressive tax di mana akan wujud keadaan di mana individu yang berpendapatan rendah akan membayar bahagian yang lebih besar berbanding dengan individu yang berpendapatan tinggi, RM100 dari golongan pendapatan rendah adalah lebih tinggi nilainya berbanding dengan yang berpendapatan tinggi.

“Pendapatan rakyat Malaysia masih rendah. Untuk makluman semua, gaji median rakyat Malaysia pada waktu ini adalah RM 2,844 sahaja.

“Hanya 16.5 peratus rakyat Malaysia mampu membayar cukai pendapatan dan lebih daripada 60 peratus rakyat Malaysia menerima pelbagai bantuan daripada kerajaan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR),” kata Lim dalam satu kenyataan.

Menurutnya golongan berpendapatan rendah memperoleh pendapatan jauh lebih rendah berbanding mereka yang berpendapatan tinggi.

"Sekiranya barangan dikenakan cukai, maka ia akan menyebabkan rakyat kurangkan pembelian sekali gus menjejaskan ekonomi tempatan yang beransur pulih dari wabak covid-19,” ujarnya.

Akmal baru-baru ini mencadangkan kerajaan melaksanakan semula GST sebagai alternatif untuk meningkatkan pendapatan negara.


Cadangan itu dikemukakannya ketika menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kenaikan tarif elektrik tidak akan memberi kesan domino terhadap kenaikan harga barang dan seterusnya membebankan rakyat.

"Saya cadangkan kepada PMX (Anwar), untuk melaksanakan semula GST yang ternyata lebih berkesan untuk menambah pendapatan negara dan lebih adil, dan telah terbukti berkesan di seluruh dunia," katanya.

Kata Akmal lagi, kerajaan boleh menukar nama GST jika istilah itu sensitif, asalkan langkah tersebut dapat meningkatkan hasil negara dan membantu rakyat.

Mengulas lanjut, Lim berkata, misi utama kerajaan buat masa ini ialah menambah pendapatan rakyat Malaysia terlebih dahulu.

“Usaha sedia ada kerajaan adalah "menaikkan siling" dan "menaikkan lantai" sebagai asas Kerangka Ekonomi Madani di mana kita cuba sedaya upaya untuk menaikkan kemampuan ekonomi negara dan pendapatan rakyat Malaysia“ jelasnya.

Tambahnya, antaranya usaha yang dibuat kerajaan ialah menaikkan gaji pekerja sektor awam dan swasta, selain melancarkan dasar dan perancangan ekonomi seperti Johor Singapore Special Economic Zone bagi menarik pelaburan berkualiti serta wujudkan pekerjaan pendapatan tinggi.

"Kenakan cukai merupakan jalan yang paling mudah untuk menjana pendapatan, tetapi kerajaan Madani prihatin memilih jalan yang susah namun senangkan rakyat,” ujarnya.


Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.