Memperkasakan Sektor Inap Desa: Latihan TVET Homestay Dan Persiapan Menuju Tahun Melawat Malaysia 2026 - Zahid


Baru-baru ini, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Inap Desa bersama pihak-pihak berkepentingan, termasuk Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). Mesyuarat ini bertujuan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia, dengan memberi tumpuan kepada pelancongan berasaskan komuniti sejajar dengan persiapan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026.

Sektor inap desa atau homestay berpotensi besar dalam meningkatkan pendapatan serta taraf hidup masyarakat luar bandar. Sehubungan itu, Institut Kemajuan Desa (INFRA) KKDW telah memperkenalkan kursus khas untuk usahawan homestay dan program TVET homestay bagi menyokong Kepengerusian ASEAN 2025 serta sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026.

Langkah ini amat penting untuk memastikan usahawan desa bersedia mengadaptasi standard antarabangsa dalam pengurusan homestay, sekaligus meningkatkan daya saing sektor pelancongan desa negara.

Sebagai satu-satunya Institusi Latihan Awam (ILA) yang ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), INFRA berperanan sebagai Pusat Bertauliah TVET bagi program homestay. Dalam masa yang sama, INFRA juga menjadi pusat rujukan utama dengan menawarkan kursus wajib sebagai prasyarat bagi pendaftaran homestay yang sah di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Sebagai Menteri KKDW, saya mahu INFRA terus menjadi peneraju dalam menyediakan modul latihan berimpak tinggi yang bukan sahaja menawarkan kursus, tetapi turut memastikan pembangunan modal insan desa yang berkualiti dan berdaya tahan serta memenuhi keperluan semasa.

Sehingga kini, INFRA telah melahirkan 295 graduan TVET Program Homestay, manakala 10,094 peserta kursus telah berdaftar di bawah MOTAC sebagai pengusaha Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM).

Pada tahun ini, INFRA telah merangka pelbagai program bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pengusaha homestay, termasuk pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Penyeliaan dan Koordinasi Homestay Tahap 3, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Operasi Homestay Tahap 2, Kursus Pengenalan Homestay, Kursus Asas Homestay dan Kursus Lanjutan Homestay. Program-program ini menyasarkan penyertaan seramai 1,000 peserta daripada kalangan usahawan desa yang ingin memperkukuh daya saing dalam industri pelancongan.

Saya yakin, dengan pelaksanaan kursus berkaitan homestay ini, INFRA berada pada kedudukan yang kukuh untuk menjadi institusi unggul dalam memacu pembangunan desa di Malaysia. Langkah ini selari dengan misi dan visi KKDW dalam memastikan masyarakat desa terus maju, berdaya saing dan berdaya tahan dalam era globalisasi.

 

Ahmad Zahid Hamidi

Timbalan Perdana Menteri Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah

7 Februari 2025

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.