Mahathir obses cari jalan jatuhkan Anwar

 


Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata ketika Dr Mahathir Mohamad menghampiri hari lahir yang ke-100, bekas perdana menteri itu terus mencari jalan menjatuhkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menurut ahli parlimen DAP itu, punca keobsesan Mahathir adalah kerana egonya.

"Mahathir tidak mampu menerima hakikat bahawa Anwar kini sudah menjadi Perdana Menteri.

"Ego Mahathir menyebabkannya mahu kekal sebagai satu-satunya pemimpin yang dianggap hebat, dan sesiapa yang tidak tunduk kepada kepercayaan dan panduannya akan dihina.

"Namun, Mahathir perlu sedar bahawa rakyat Malaysia sudah menyampah dengan politik dendam dan perebutan kuasa," katanya.

Lim berhujah bahawa Anwar mewarisi ekonomi yang bermasalah dan sistem politik yang sangat cacat - masalah yang berpunca daripada dasar-dasar lampau, terutamanya semasa tempoh Mahathir.

"Daripada membantu, Mahathir memilih untuk terus menyerang tanpa menawarkan penyelesaian.

"Malaysia memerlukan kepimpinan yang berani, bukan suara yang hanya tahu menyalahkan ekoran daripada emosi yang tidak berkesudahan," katanya.

Lim turut mendakwa kedua-duanya era pentadbiran Mahathir menyaksikan negara menghadapi kemelut selepas dia berundur.

"Anwar baru lebih dua tahun memimpin, tetapi Mahathir bertindak seolah-olah semua masalah negara bermula pada tahun 2022.

"Ya, Mahathir berhak bersuara, tetapi jika beliau mahu dihormati sebagai seorang negarawan, tegurlah dengan jujur dan bertanggungjawab.

"Jika benar beliau mahu melihat Malaysia maju, berilah ruang kepada kepimpinan baru untuk membuktikan kemampuan mereka, bukannya terus mengulangi dendam lama.

"Mahathir perlu benar-benar memikirkan legasi jenis apa yang beliau mahu tinggalkan,” katanya.

Kenyataan Lim hadir selepas Mahathir menyifatkan Anwar sering berbohong.

Sebelum ini, Mahathir mendakwa Anwar menyekat pemimpin asing yang mengunjungi negara dari bertemu dengannya.

Anwar menafikan tuduhan itu.


Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.