YB Mat Jargon dari parlimen Machang tiba-tiba seperti kera kena belacan menyelar Perdana Menteri di dalam dewan parlimen dengan menggunakan alasan beliau tidak puas hati apabila DS Anwar menyindir Parlimen Machang tidak maju.
Tidak cukup dengan marahkan PM, beliau menyerang dan menyalahkan UMNO sebagai penyebab kenapa Machang tidak maju. Mat Jargon menuduh UMNO amalkan ‘Politik Naungan’ di Kelantan sebagai faktor kenapa Kelantan mundur dan DS Anwar menyambung amalan UMNO tersebut sehingga ke hari ini.
Sebenarnya Mat Jargon mengambil kesempatan untuk menyerang UMNO dan cuba membina persepsi jahat supaya pengundi Machang menolak UMNO pada pilihanraya umum akan datang. Mat Jargon telah sedar bahawa pengundi tertipu dengan gaya politik beliau di parlimen tersebut dan angin bertiup kencang bahawa beliau akan kalah teruk di PRU-16 kelak.
Sebagai persediaan awal, Mat Jargon mencipta naratif baharu kononnya Machang mundur kerana Kerajaan Madani tidak mempedulikan nasib rakyat di situ.
Apa yang terjadi sebenarnya di sidang parlimen ketika DS Anwar menempelak Mat Jargon pada sesi soal jawab dengan Perdana Menteri(PMQ)?
Anda boleh lihat video di atas, DS Anwar menegur Machang tidak maju kerana 'ada wakil rakyat seperti Mat Jargon' yang tidak dapat memahami tentang pergerakan ekonomi negara di waktu ini.
Satu sindirin sinis dan kerana sikap pening-pening lalat itulah gelaran Mat Jargon terhadap beliau melekat sehingga kini.
Mat Jargon tidak perlu berbohong kepada rakyat Machang. Bandingkanlah apa yang ada di parlimen Machang sejak dahulu di bawah wakil rakyat UMNO-BN dengan sekarang.
Jika Mat Jargon menggunakan alasan kononnya dahulu Kerajaan pusat adalah Barisan Nasional maka apa kurangnya ketika Muhyiddin dan Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri kepada Kerajaan Campuran ketika itu?
Apa yang Mat Jargon perjuangkan untuk rakyat Machang ketika beliau dua kali menjadi Timbalan Menteri kepada dua Kerajaan tersebut?
Projek utama yang telah dan sedang dilaksanakan:
1. Projek Loji Rawatan Air (LRA) Machang: Dalam usaha menyelesaikan masalah bekalan air bersih di Kelantan, kerajaan telah memperuntukkan RM1.1 bilion dalam Belanjawan 2024 untuk projek bekalan air, termasuk pembinaan LRA Machang Fasa 1 dengan kapasiti 250 juta liter sehari. Projek ini bertujuan meningkatkan rizab bekalan air dan dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk Machang yang sebelum ini menghadapi masalah bekalan air bersih.
2. Projek Jalan dan Jambatan Luar Bandar (JALB): Sebanyak 42 projek di bawah Program JALB telah diluluskan di Kelantan dengan kos keseluruhan RM1.44 bilion. Antara projek utama di Machang termasuk pembinaan jalan dan jambatan yang menghubungkan Kampung Joh ke Kampung Belimbing, Kampung Joh ke Kampung Kuala Sat, serta jalan dari Kampung Joh ke Kampung Mata Ayer. Projek-projek ini dijangka memendekkan masa perjalanan sehingga 20 minit dan jarak sejauh 15 kilometer antara jajahan Kota Bharu, Machang, dan Tanah Merah, sekaligus meningkatkan aksesibiliti dan merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
Untuk makluman rakyat Machang, projek ini di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan. Menterinya adalah DS Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri dan beliau adalah Presiden UMNO.
3. Program Perumahan Rakyat (PPR) Machang: Projek PPR Machang yang siap dibina pada 13 November 2019 merangkumi 418 unit rumah pangsa lima tingkat dengan kos pembinaan RM75 juta. Bagi memudahkan pemilikan, kerajaan telah melaksanakan kaedah 'Rent To Own' (RTO) yang diuruskan oleh PR1MA Facilities Management Sdn. Bhd. Inisiatif ini membolehkan lebih ramai penduduk memiliki kediaman sendiri dengan lebih mudah dan berpatutan.
4. Pembaikan dan Penurapan Jalan Alternatif: Pejabat Tanah dan Jajahan Machang telah mengumumkan kerja-kerja pembaikan dan penurapan jalan alternatif di bawah jejambat berhampiran SMKA Wataniah. Usaha ini bertujuan meningkatkan kualiti infrastruktur jalan raya dan keselamatan pengguna jalan di kawasan tersebut.
Untuk makluman pengundi Machang juga, selain projek-projek yang tersebut di atas. Rakyat Machang tentu tahu kewujudan UiTM, Sekolah Sains Berasrama Penuh, Hospital Machang di samping beberapa buah Klinik Kesihatan di dalam parlimen tersebut.
Jaringan lebuhraya Persekutuan dari Gua Musang ke Machang dan Kota Bharu serta Lebuhraya Persekutuan dari Grik ke Machang dan seterusnya bersambung ke Kota Bharu. Kedua jaringan ini adalah Lebuhraya tanpa tol dan di bina oleh Kerajaan Pusat ketika itu adalah Kerajaan Barisan Nasional.
Jadi YB Mat Jargon ingin nafikan yang mana satu bukan usaha UMNO?

Comments
Post a Comment