Aktivis PAS, Nurul Islam Mohammed Yusoff membidas kenyataan Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang mengecam pengkritiknya berhubung keputusan kerajaan yang melantik syarikat yang tidak berpengalaman sebagai pusat pemeriksaan kenderaan motor (PPKM).
Loke yang mewajarkan tindakan itu atas alasan tidak ada syarikat tempatan yang berpengalaman dalam pemeriksaan kenderaan kerana Puspakom sebelum ini memonopoli industri tersebut.

“Kau boleh tak baca balik garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan.
“Kan terang-terang tulis pengalaman dalam bidang berkaitan.
“Berkaitan ini maksud dia apa? Maksud dia tidak semestinya perniagaan pemeriksaan kenderaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut Nurul Islam, mereka atau syarikat berkenaan mungkin pernah memiliki pusat servis, bengkel, atau pusat pemeriksaan kenderaan dan seumpamnya.
“Semuanya lebih berkelayakan dan berpengalaman dari syarikat lapan bulan dan syarikat bidang pembinaan dan IT yang kau pilih.
“Kan bersepah pemilik perniagaan yang berkaitan dengan automotif macam aku sebut.
“Syarikat macam Scrut Malaysia, Mytukar, Carsome pun ada buat perkhidmatan inspection. Tak berkaitan ke tu?”soalnya.

Awal hari ini, Loke mempertahankan keputusannya mengatakan tiada syarikat tempatan yang berpengalaman dalam pemeriksaan kenderaan kerana Puspakom sebelum ini memonopoli industri itu.
Loke, hari ini semasa mempertahankan pemilihan syarikat tiada pengalaman, berkata Puspakom juga ketika ditubuhkan pada 1994 – lebih 30 tahun lalu – juga tidak mempunyai pengalaman.
“Sebelum ini pasaran ini tidak dibuka, ia dimonopoli oleh sebuah syarikat yang diberi konsesi oleh kerajaan.
“Sekarang, kita buka industri ini kepada lebih banyak persaingan supaya lebih banyak syarikat boleh terlibat dalam industri pemeriksaan kenderaan,” dia dipetik oleh Bernama sebagai berkata dalam acara di Shah Alam hari ini.

Tiga syarikat dilantik untuk PPKM fasa pertama iaitu Wawasan Bintang Sdn Bhd, Pakatan Petroleum dan Beriman Gold Sdn Bhd.
Semakan rekod Suruhanjaya Syarikat mendapati Pakatan Petroleum dan Beriman Gold terlibat dalam perniagaan yang tidak berkaitan dengan automotif.
Pakatan Petroleum pula terlibat dalam perdagangan petroleum dan gas manakala Beriman Gold terlibat dalam pembinaan, telekomunikasi dan multimedia, serta keselamatan dan sistem teknologi maklumat.
Wawasan Bintang pula menyenaraikan pemeriksaan kenderaan bermotor sebagai perniagaannya tetapi dikatakan baru lapan bulan beroperasi dan tidak mempunyai rekod prestasi awam.
Mengulas lanjut, Nurul Islam berkata selepas gagal menjawab kenapa kerajaan memberi lesen kepada syarikat yang tidak pengalaman, pemimpin DAP itu tampil cuba menegakkan benang yang basah.

“Akhirnya Anthony Loke tampil dengan alasan ‘cap ayam’.
“Sudahlah, benang yang basah jangan ditegakkan, sampai kiamat (pun) tak tegak-tegak.
“Kau yang keluar garis panduan, kau juga yang tak ikut garis panduan. Lepas tu kami pula dituduh nak mempolitikkan,” katanya lagi.

Comments
Post a Comment