Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis untuk memohon kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung semakan kehakiman Najib Razak.
Dalam kenyataannya awal petang ini, AGC berkata, rayuan yang difailkan itu adalah berdasarkan tafsiran undang-undang yang bercanggah di antara mahkamah tinggi dan Mahkamah Rayuan.
Katanya, terdapat juga perkara berkaitan undang-undang perlembagaan yang perlu didengar.
Bulan lalu panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membuat keputusan 2-1 dan membenarkan rayuan bekas perdana menteri terbabit untuk memulakan semakan kehakiman bagi memaksa menteri dalam negeri dan kerajaan menguatkuasakan titah yang didakwa dibuat Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak permohonan semakan kehakiman sebelum itu.
Titah tambahan (adendum) yang ditandatangani oleh Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah itu melibatkan kebenaran agar Najib menghabiskan baki hukuman penjara di rumah berbanding di Penjara Kajang.
Istana Pahang sebelum ini mengesahkan kewujudan adendum itu dalam surat yang dikemukakan di mahkamah.
Bagaimanapun, peguam kerajaan berhujah adendum terbabit tidak dibincangkan semasa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bersidang dan dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah yang menjadi Agong ketika itu.
Dalam sidang tersebut anggota lembaga pengampunan hanya memutuskan untuk mengurangkan hukuman Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun penjara, manakala menjadi RM50 juta berbanding RM210 juta sebelumnya.
"AGC percaya langkah ini (memfailkan usul) bukan saja penting untuk memastikan keadilan dalam kes ini, tetapi juga bagi menegakkan prinsip keluhuran perlembagaan dan undang-undang, serta memperjelaskan tafsiran undang-undang bagi manfaat semua pihak," kata kenyataan itu hari ini.
Notis usul daripada AGC itu difailkan di Mahkamah Persekutuan semalam.

Comments
Post a Comment