Siasatan KJ burukkan 2 menteri, pendakwa mahu maklumat tambahan

 


Jabatan Peguam Negara telah mengembalikan semula kertas siasatan membabitkan bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin bagi mendapatkan beberapa maklumat tambahan, kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Beliau berkata, kertas siasatan itu telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada 15 Jan.

“Kertas siasatan (polis) dikembalikan semula (bagi menunggu laporan forensik yang masih belum siap),” katanya kepada Bernama.

Sebelum ini, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKMM) 1998 terhadap Khairy, berhubung kenyataannya mengenai kewujudan dokumen tambahan membolehkan bekas perdana menteri, Najib Razak menjalani baki pemenjaraan secara tahanan rumah.

Susulan itu, keterangan Khairy yang juga bekas ketua Pemuda Umno, dirakam pada 13 Jan oleh pegawai polis daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di Studio Keluar Sekejap, di Bukit Damansara dekat Kuala Lumpur.

Pada 10 Jan, Suraya Yaacob iaitu setiausaha politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dan Nor Azrina Surip yang merupakan setiausaha politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, telah membuat laporan polis terhadap Khairy, masing-masing di Putrajaya dan Sentul.

Menerusi salinan laporan polis itu, Suraya dan Nor Azrina mendakwa kenyataan dikeluarkan Khairy mengaitkan dua menteri tersebut adalah tidak benar, memburukkan menteri, mengelirukan, dan menimbulkan perasaan tidak senang serta suasana panik dalam kalangan rakyat hingga berkemungkinan boleh menggugat keamanan negara.


Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.