Rafizi tolak gesaan kumpulan restoran

 


KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menolak gesaan dua kumpulan restoran agar kerajaan membenarkan pekerja asing dibawa masuk untuk sektor itu.

Dalam responsnya, Rafizi berkata, menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan akan terus memberi tumpuan pada usaha mengurangkan kebergantungan negara terhadap buruh asing berkemahiran rendah.

Walaupun perkara ini akan memberikan cabaran kepada perniagaan tertentu, beliau berkata, Putrajaya bertanggungjawab membantu majikan Malaysia mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing.

Rafizi mengakui, Rancangan Malaysia sebelum ini gagal menyelesaikan masalah itu, dengan bilangan pekerja asing yang dibawa masuk melebihi had yang ditetapkan.

“Setiap lima tahun, melalui Rancangan Msia, Kementerian Ekonomi meletakkan had nisbah pekerja asing … kita tak pernah berjaya, mesti terlebih setiap kali,” katanya kepada pemberita selepas sesi libat urus dengan pemain industri bagi RMK13.

“Dalam melaksanakan MK13 ini, saya lebih suka bersikap telus … jadi tanggungjawab (kerajaan) untuk uruskan kemasukan pekerja asing berkemahiran rendah.”

Terdahulu, ketika sesi libat urus dengan pemain industri perkhidmatan, Timbalan Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Tahir Salam meminta Rafizi menangani isu tenaga kerja.

“Cabaran (sektor) kami ialah kekurangan tenaga kerja. Kami telah cuba ambil pekerja tempatan tetapi akhirnya, terpaksa bergantung pada pekerja asing,” kata Tahir.

Semalam, Presma dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia menggesa kerajaan membenarkan mereka membawa masuk pekerja asing, mendakwa terdapat kekurangan 25,000 pekerja dalam sektor itu.

Kedua-dua kumpulan industri itu berkata, mereka telah menghantar surat kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi lain yang terlibat dalam pengambilan pekerja asing, meminta mereka mempertimbangkan untuk membenarkan restoran membawa masuk pekerja asing.

Dalam pada itu, Rafizi mengakui kerajaan terus bergelut membendung masalah hijrah cendekiawan (brain drain), walaupun pelbagai insentif telah diperkenalkan bagi menggalakkan rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara agar pulang.

Beliau berkata, kekurangan pekerjaan yang sesuai di Malaysia kekal menjadi penghalang bagi mereka yang berharap untuk kembali.

“Mereka hanya akan pulang jika ada pekerjaan sesuai. Contohnya, jika bekerja di UK (United Kingdom), bayar cukai tinggi, tetapi kenapa hanya sesetengah yang pulang, yang lain tidak?

“…. kerana kadang-kadang tiada peluang sesuai untuk mereka di sini. Contohnya, jika seseorang itu jurutera bioteknologi khusus dalam genom, di mana nak kerja di Malaysia?”


Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.