Tolak Penangguhan PRN Melaka, Johor: PN Yakin Menang Dengan 'Modal' Kenaikan Minyak Diesel?


Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Mazri Yahya menolak cadangan penangguhan pilihanraya negeri Johor dan Melaka dengan mengatakan bahawa Malaysia tidak berada dalam keadaan darurat atau peperangan, sekali gus tiada alasan kukuh untuk menangguhkan proses demokrasi yang menjadi asas sistem negara.

Pemerhati politik tempatan mengatakan Perikatan Nasional begitu yakin bahawa mereka mampu menang besar dengan melihat perkembangan harga diesel mutakhir ini dan itulah yang akan menjadi bahan kempen ketika berceramah di seluruh pelusuk Melaka dan Johor.

Tambah pemerhati politik, Perikatan Nasional cuba menampakkan bahawa gabungan mereka begitu kukuh dan isu kenaikan harga minyak diesel gagal ditangani oleh Kerajaan Pusat.

Apa yang berlaku sekarang dan cuba ditutup oleh Perikatan Nasional adalah keadaan dalaman gabungan tersebut masih kucar kacir sehinggakan masih tiada keputusan siapa yang akan menjadi Ketua Pembangkang di parlimen serta kedudukan Hamzah serta pengikutnya seramai 16 orang ahli parlimen di dalam Perikatan Nasional masih belum dimuktamadkan.

Mungkin Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor tidak nampak atau cuba sembunyikan apa yang kerajaan pusat telah dan sedang lakukan bagi meringankan beban rakyat kesan dari Perang Iran-Amerika-Israel ini.

Terkini, Kerajaan mengumumkan peningkatan kadar bantuan tunai BUDI Diesel serta pelbagai insentif pertanian bagi musim penanaman 2026.

Kadar bantuan tunai BUDI Diesel Individu dinaikkan kepada RM400 sebulan berbanding RM300 bagi April 2026, sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 150,000 pemilik kenderaan diesel individu di Semenanjung Malaysia, dengan tambahan peruntukan sebanyak RM15 juta sebulan

Bagi melindungi dan menjamin kelangsungan hidup rakyat yang membanting tulang sebagai pesawah, kerajaan bersetuju menaikkan kadar Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP).

Kadar IPKP bagi musim penanaman 2026 dinaikkan kepada RM300 sehektar semusim berbanding RM160 pada 2025, membabitkan tambahan dana sekitar RM40 juta untuk hampir 200,000 pesawah.

Bagi golongan petani dan pekebun kecil, bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi turut dinaikkan kepada RM400 sebulan berbanding RM300 sebelum ini, melibatkan tambahan dana kira-kira RM20 juta sebulan dan memberi manfaat kepada lebih 200,000 penerima.

Menurut Kementerian Ekonomi, langkah perlindungan ekonomi itu disusun selari dengan jangkaan kesan krisis pasaran global terhadap pendapatan isi rumah yang dijangka menjadi lebih ketara bermula Jun 2026.

Selain itu, kerajaan turut merintis langkah pengurusan bekalan dengan menguatkuasakan peralihan kepada tahap adunan biodiesel lebih tinggi bagi memastikan ketersediaan diesel dalam negara.

Kementerian Kewangan pula akan terus memantau pelaksanaan serta penyampaian maklumat berkaitan inisiatif bantuan tersebut dari semasa ke semasa.

Walaupun pengeluar makanan domestik berdepan tekanan kenaikan kos input seperti baja dan makanan ternakan, kedudukan stok makanan asas negara dilaporkan kekal mencukupi bagi jangka masa terdekat.

Apa yang diusulkan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Dato Seri Dr Ahmad Maslan hanyalah cadangan yang melihat dari sudut perbelanjaan berhemah kerajaan sebagai perkara yang lebih utama. Tidak ada satu kenyataan pun dari pihak kerajaan bahawa negeri ini dalam krisis darurat. Usul ini didorong oleh kebimbangan mengenai apa yang sedang berlaku kesan dari konflik Asia Barat tersebut.

Keghairahan pemimpin Perikatan Nasional mencerminkan mereka lebih mementingkan kuasa politik dari melihat situasi yang bakal menimpa negara dan rakyat jika kesan krisis ini tidak diuruskan dengan baik terlebih dahulu.

Rakyat perlu diutamakan di dalam situasi ini jelas pemerhati politik lagi. Adakah Perikatan Nasional yakin boleh selesaikan masalah rakyat kesan dari peperangan yang sedang berlaku jika mereka menang atau sekadar "menang sorak dan kampung tergadai"?

Cukupkah berkempen dengan merekayasa fitnah seperti yang sedang berlaku sekarang kononnya minyak milik negara dihantar ke Filipina?

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.