Rumah Bangsa v Reban Politik


Sejak diperkenalkan oleh Presiden UMNO, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung UMNO 2025, gagasan “Rumah Bangsa” tidak sekadar menjadi slogan tetapi ia berkembang sebagai satu naratif politik yang mencetuskan reaksi pelbagai pihak, termasuk lawan dan bekas sekutu.

Reaksi yang timbul bukan sahaja berbentuk kritikan biasa, malah ada yang dilihat cuba membina persepsi negatif secara agresif. Ini termasuk usaha menggambarkan Rumah Bangsa sebagai sesuatu yang rapuh, tidak berprinsip, malah “menakutkan” untuk didekati oleh penyokong dan pemimpin tertentu.

Antara yang paling ketara ialah kenyataan-kenyataan daripada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, yang dilihat cuba membentuk naratif bahawa gagasan ini tidak stabil dan tidak wajar disertai.

Pendekatan ini bukan sekadar kritikan dasar tetapi lebih menjurus kepada strategi psikologi dengan menyasarkan pengundi atas pagar, bekas pemimpin UMNO, serta penyokong tegar agar terus menjauhi parti tersebut. Naratif yang dibina cuba menimbulkan keraguan dan ketakutan, seolah-olah “Rumah Bangsa” adalah ruang yang tidak selamat untuk kembali. Hadi menggelarkan Rumah Bangsa sebagai “Rumah Hantu” dan juga rumah yang tidak berdinding.

Namun penganalisis politik melihat, serangan persepsi sering kali memberi petunjuk bahawa sesuatu gagasan itu mempunyai potensi besar sehingga mencetuskan kegusaran pihak lawan.

Ironinya, label negatif yang cuba dilekatkan kepada Rumah Bangsa sebenarnya memperlihatkan kesan sebaliknya. Apa yang digambarkan sebagai “menakutkan” mula dilihat sebagai sesuatu yang menarik perhatian, satu daya tarikan yang sukar dinafikan.

Terdapat tanda-tanda bahawa mereka yang sebelum ini menjauhkan diri mula menilai semula pendirian. Golongan yang pernah kecewa semakin terbuka untuk kembali, manakala mereka yang melalui fasa konflik dengan parti mula melihat keperluan kepada sebuah wadah penyatuan yang lebih tersusun.

Dalam konteks ini, “berhantu” bukan lagi membawa maksud negatif tetapi menjadi metafora kepada kekuatan tarikan yang luar biasa.

Rumah Bangsa dibina atas asas yang jelas iaitu keikhlasan perjuangan, disiplin organisasi dan proses kemasukan yang teratur. Ia bukan sekadar ruang terbuka tanpa syarat tetapi sebuah struktur yang mengekalkan tertib parti serta prinsip asas perjuangan.

Pendekatan ini membezakan Rumah Bangsa daripada model kerjasama politik lain yang dilihat lebih longgar atau berasaskan kepentingan jangka pendek dan kepentingan parti masing-masing sahaja.

Dalam masa yang sama, terdapat kritikan terhadap pendekatan sesetengah gabungan politik yang dilihat lebih bersifat reaktif dan berasaskan penentangan semata-mata. Kerjasama yang dibina atas dasar kebencian politik berisiko melahirkan ketidakstabilan dalaman serta percanggahan prinsip.

Sebagai contoh, penerimaan terhadap tokoh seperti P. Waytha Moorthy yang pernah mencetuskan kontroversi berkaitan imej negara di peringkat antarabangsa dengan memfitnah bahawa Malaysia menzalimi penganut hindu, serta hubungan dengan Parti Gerakan Rakyat Malaysia yang mempunyai rekod berbeza dalam isu dasar tertentu, sering dijadikan rujukan dalam menilai konsistensi politik gabungan tersebut. Parti Gerakan membawa isu Hudud hingga ke mahkamah dan menentang modul Hadis 40 yang diperkenalkan di sekolah.

Kepada pihak yang cuba membina naratif untuk burukkan Rumah Bangsa, lihatlah terlebih dahulu Reban Politik yang masih huru-hara di dalamnya.



Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.