Di saat rakyat semakin terhimpit dengan kos sara hidup, satu perbandingan mula mencuri perhatian. Bagaimana Thailand berjaya menurunkan harga barang, sedangkan Malaysia masih bergelut menenangkan keresahan rakyat?
Ini bukan sekadar soal ekonomi. Ini soal keberanian membuat keputusan.
Kerajaan Thailand mengambil pendekatan ‘menyerang terus punca’ dengan terus terjah ke akar masalah iaitu ‘harga di atas rak kedai’. Apa yang kerajaan Thailand lakukan ialah harga barang dikawal, orang tengah dipotong dan kartel ditekan.
Hasilnya? Rakyat tidak perlu tunggu bantuan kerana harga sudah turun sebelum sampai ke tangan pengguna.
Jika diamati maka ini pendekatan berani kerana berjaya mengawal sistem, mendisiplinkan pasaran bagi memastikan harga kekal rendah. Prinsip kerajaan Thailand jelas, kalau rakyat mengeluh, masalahnya bukan pada rakyat, tetapi pada sistem.
Di Malaysia, pendekatannya berbeza. Kerajaan memberi bantuan tunai, subsidi dan pelbagai inisiatif untuk meringankan beban rakyat. Namun realiti di lapangan tetap sama iaitu harga barang tidak benar-benar turun dan kos sara hidup masih dirasai tinggi.
Umpama rakyat menerima bantuan di tangan kanan tetapi di tangan kiri, mereka masih membayar harga yang semakin mahal. Ini bukan kegagalan total tetapi ianya menjadi 'jurang kepelikan' apabila strategi kurang menjadi maka hasilnya menampakkan bahawa Malaysia memilih untuk melindungi rakyat daripada kesan rantaian lonjakan kos sara hidup tetapi tidak menekan punca masalah secara agresif.
Pemimpin politik di Malaysia, samada dari blok kerajaan atau dari blok pembangkang sepatutnya lebih berani lontarkan idea dan bukannya mengkritik dasar kerajaan berkait dengan kesan ekonomi akibat perang di Asia Barat.
Ada dua senario berbeza antara Malaysia dan Thailand dalam meredakan emosi rakyat. Boleh dilihat dengan jelas bahawa Thailand bertindak mengawal harga di pasar raya sebaliknya Malaysia mengawal tekanan di ‘poket rakyat’.
Namun ada pemimpin politik gigih berusaha agar rakyat melihat dari sudut berbeza. Pemimpin jenis ini hanya memikirkan berapa undi mereka akan perolehi dengan ‘menyerang’ kerajaan melalui persepsi rekayasa ‘politik ekonomi’ kerana bagi pemahaman mereka, persepsi rakyat itu mudah terbentuk, "apa gunanya bantuan jika harga terus naik", ini yang cuba ditanam ke dalam otak rakyat.
Rakyat tidak mengira dan peduli tentang subsidi yang mereka terima tetapi mereka lebih kepada melihat angka pada resit. Kenapa ini berlaku? Jawapannya mudah, kerana pemimpin politik di Malaysia lebih suka memberi gambaran menakutkan rakyat berbanding dengan memberi solusi.
Hakikatnya, pada kedudukan sekarang ramai yang melihat Thailand menang jika dinilai pada harga barang tetapi jika dinilai pada kestabilan dasar maka Malaysia dilhat lebih berhati-hati.
Cabaran bagi Malaysia adalah rakyat jarang menilai kesungguhan kerajaan berdasarkan teori ekonomi, mereka lebih kepada berdasarkan pengalaman harian kerana bagi mereka pengalaman harian itu berlaku di kaunter bayaran, bukan di meja dasar.
Jadi apa yang sepatutnya perlu dilakukan oleh pemimpin politik? Memilih untuk terus ‘memekak’ atau memberi solusi?
Pemimpin politik yang bijak akan berani cadangkan supaya Malaysia ubah pendekatan daripada sekadar membantu rakyat untuk bertahan kepada memastikan rakyat supaya tidak lagi perlu bertahan kerana akhirnya, rakyat akan memilih untuk tidak mahu lagi sekadar hidup dengan bantuan tetapi mereka mahu hidup dengan harga yang munasabah.
Akhirnya, pemimpin politik perlu sedar bahawa sekarang ini bukan soal siapa betul atau salah.
Ini soal siapa berani bertindak sebelum rakyat hilang sabar.

Comments
Post a Comment