Betulkah Alasan Menolak Perjuangan Bangsa Dengan Menerima Perjuangan Pengasas Hindraf?


Memberi alasan untuk tidak menerima atau menolak sesuatu perkara kadang kala menjerat leher sendiri.

Begitu juga apabila memberi alasan untuk menyertai Rumah Bangsa dengan alasan kerana UMNO sedang berkawan dengan DAP di dalam kerajaan pusat.

Walau pun pembentukan kerajaan perpaduan adalah satu perjalanan sejarah pembentukan kerajaan pusat yang terbuka atau bukan rahsia namun ada pihak yang cuba memutar belitkan sejarah tersebut dengan memberikan gambaran yang salah supaya UMNO dipersalahkan dan keegoan Perikatan Nasional dilupakan.

Kenyataan tegas dari Presiden UMNO, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum PRU15 adalah jelas, “No, DAP..No Anwar dan No Bersatu" tetapi akhirnya dimanipulasi oleh pihak lawan politik UMNO-BN menjadi hanya “No DAP, No Anwar” sahaja. Bukankah ini satu penipuan kepada penyokong sendiri dan cuba mengaburi mata rakyat bahawa apa sebenarnya yang berlaku?

Menjadikan DAP sebagai alasan untuk tidak kembali bersama dengan perjuangan Agama, Bangsa dan Tanahair sebenarnya alasan yang ‘tumpul’ kerana di waktu yang sama mereka dengan senang hati menerima pengasas Hindraf dan bekas pemimpin DAP serta parti politik yang terkenal dengan sikapnya yang tidak mesra ‘perjuangan bangsa Melayu’ selama ini.

Sehingga sekarang, Waytha Moorty, bekas pengasas Hindraf tidak memohon maaf dengan apa yang beliau telah lakukan terhadap negara ini. 

Beliau memfitnah kerajaan Malaysia menzalimi kaum hindu dengan tuduhan yang amat berat dan perbuatan tersebut di lakukan di luar negara. 

Paling mengecewakan sehingga kini beliau tidak dikenakan apa-apa tindakan undang-undang dan masih bebas berjalan di atas muka bumi Malaysia malah pihak yang membenci DAP menjadikan beliau sebagai rakan kongsi perjuangan politik mereka.

Bayangkan bekas Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) melemparkan tuduhan kononnya kerajaan melakukan penindasan teruk terhadap kaum lain antaranya seperti merobohkan kuil diterima di dalam gabungan parti untuk melawan UMNO BN.

Paling menjijikkan, mereka yang dahulunya begitu gigih dan bersungguh supaya Waytha Moorthy dikenakan tindakan kerana mengaibkan nama Malaysia di mata dunia, kini boleh tidur lena sebantal dengan beliau.

Bagaimana pula dengan Parti Gerakan yang terang-terang membawa isu hudud ke mahkamah?

Parti Gerakan memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kesahihan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 11 1993 (Pindaan 2015) atau lebih dikenali sebagai hudud di bawah Perlembagaan. Adakah DAP pernah bertindak sejauh ini?

Malah Parti Gerakan juga membantah pelaksanaan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah-sekolah. Adakah DAP berbuat sedemikian?

Jadi, tidak malukah kita menjadikan alasan menolak untuk tidak kembali ke Rumah Bangsa dengan menggunakan DAP sebagai alasan?

Tepuk kepala tanya hati!



Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.