Pendedahan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, bahawa Iran membenarkan kapal Malaysia melalui Selat Hormuz selepas rundingan dengan Presiden Masoud Pezeshkian pada awalnya dilihat sebagai perkembangan positif. Dalam suasana konflik yang tegang, sebarang jaminan laluan selamat adalah berita melegakan.
Namun di sebalik naratif diplomatik ini, muncul laporan media antarabangsa, termasuk Bloomberg, mendedahkan bahawa Iran didakwa mewujudkan “pusat pungutan tol” di Selat Hormuz dengan bayaran mencecah AS$2 juta (sekitar RM8 juta) bagi setiap laluan. Walaupun mekanisme pembayaran masih kabur dan bersifat ad hoc, implikasinya jelas, laluan strategik dunia kini berpotensi menjadi titik tekanan ekonomi.
Jika benar terdapat bayaran dikenakan, rakyat berhak tahu. Ini bukan sekadar soal dasar luar tetapi melibatkan wang pembayar cukai dan kepentingan negara.
Hakikatnya, hampir 50% import minyak mentah Malaysia melalui Selat Hormuz. Sebarang gangguan atau kos tambahan akan memberi kesan langsung kepada ekonomi negara dengan tujuh kapal milik syarikat Malaysia, termasuk Petronas dan Vantris Energy Berhad, dilaporkan menunggu untuk menyeberang, tekanan ini bukan lagi teori, ia sudah menjadi realiti operasi.
Jika benar maka dalam keadaan ini, pilihan kerajaan menjadi terhad sama ada membayar untuk memastikan kelangsungan bekalan atau berdepan risiko kapal terkandas dan rantaian bekalan terganggu.
Apa yang berlaku di Selat Hormuz tidak berhenti di laut. Ia mengalir terus ke poket rakyat. Harga diesel tanpa subsidi kini melonjak, begitu juga RON95 tanpa subsidi. Langkah penjimatan seperti pengurangan subsidi dan had pembelian bahan api hanyalah tindak balas kepada tekanan yang lebih besar iaitu kos import yang meningkat.
Jika benar maka rakyat akhirnya mungkin terpaksa “membayar tol” yang tidak pernah mereka lihat, bukan di lebuh raya tetapi dalam bentuk harga barang yang meningkat.
Naratif bahawa Malaysia “dibenarkan laluan” mungkin kedengaran seperti kejayaan diplomasi tetapi jika di sebaliknya wujud kos tersembunyi, maka kejayaan itu datang dengan harga yang perlu ditanggung.
Anwar perlu perjelaskan.
.jpeg)
Comments
Post a Comment