Usaha mempertahankan kepimpinan Ahmad Samsuri Mokhtar oleh YB Exco, Dr Azman Ibrahim, akhirnya membuka satu hakikat yang membimbangkan iaitu kekeliruan asas tentang ekonomi negeri sendiri. Apabila hujah dibina atas salah faham, ia bukan sahaja melemahkan kredibiliti, malah menutup kegagalan sebenar pertumbuhan ekonomi Terengganu.
Kesilapan paling asas ialah dakwaan bahawa “ekonomi rakyat” kononnya tidak termasuk dalam pengiraan KDNK (GDP). Ini tidak benar. GDP mengira keseluruhan nilai tambah barangan dan perkhidmatan termasuk pertanian kecil-kecilan dan sektor tidak formal. Apabila seorang petani di Jabi menjual seekor lembu, nilai tambah itu tetap direkodkan dalam subsektor pertanian GDP negeri. Jika GDP Terengganu kekal terendah, masalahnya bukan data yang tidak cukup tetapi produktiviti yang lemah dan tidak berkembang.
Lebih membimbangkan, rujukan kepada Banci Pertanian 2024 yang menunjukkan 99.1% pegangan ternakan adalah milik individu dipersembahkan sebagai kekuatan. Hakikatnya, angka ini mendedahkan kelemahan struktur. Dalam ekonomi, dominasi pegangan kecil berskala individu menandakan penternakan sara diri bernilai tambah rendah. Tanpa penglibatan syarikat atau korporat (hanya 684 pegangan), sektor ini miskin modal, teknologi dan rantaian nilai, tiga elemen yang menentukan lonjakan pendapatan.
Akibatnya jelas, rakyat bekerja keras tetapi kekal berpendapatan rendah kerana skala ekonomi yang tidak efisien. Tidak hairan sektor pertanian menjadi yang paling lemah antara lima sektor utama Terengganu. Lebih menyedihkan apabila kejayaan dicanang melalui angka sumbangan sektor pertanian RM5.39 bilion kepada GDP negeri. Mengapa? Kerana pada 2017, sektor yang sama sudah mencecah RM5.11 bilion (harga semasa). Ini bermakna pertumbuhan purata sekadar ~0.6% setahun jauh lebih rendah daripada inflasi 2–3% setahun. Dalam istilah sebenar, nilai sebenar tidak naik tetapi ia menyusut.
Apa yang hendak dibanggakan jika sektor kritikal untuk rakyat luar bandar kalah kepada inflasi? Rakyat tidak boleh membeli beras dengan “Indeks Kebahagiaan”. Ekonomi memerlukan pelaburan berskala, produktiviti tinggi dan dasar berasaskan data, bukan emosi atau naratif yang menutup realiti.
Sudah tiba masanya berhenti berlindung di sebalik angka yang dipersembahkan tanpa konteks. Kegagalan memahami GDP membawa kepada kegagalan merancang masa depan dan kegagalan itu akhirnya dibayar oleh rakyat dengan pendapatan yang statik, kos sara hidup yang meningkat, dan peluang yang semakin sempit.
“Jangan berlagak pandai kalau ini bukan bidang kita tetapi ini hanya asas ekonomi sahaja..” netizen Jabi kecewa.
BACA juga di SINI


Comments
Post a Comment