Samsuri Sedang Sibuk ‘Ukur Langsir’ Ke Putrajaya?


Sekarang ini ramai sudah sibuk mengukur langsir Putrajaya. Poster boy sedang dipersiapkan, naratif kemenangan dibina dan gelombang dicanang seolah-olah kuasa tinggal selangkah sahaja lagi. Apabila Ahmad Samsuri Mokhtar diumumkan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional, semua orang memahami mesej politiknya beliau sedang diposisikan sebagai calon Perdana Menteri jika PN menang oleh sekumpulan siber trooper tegarnya.

Namun sebelum bercakap tentang mengurus ekonomi negara bernilai RM1.8 trilion, ada satu soalan asas yang wajar dijawab terlebih dahulu secara jujur dan terbuka, bagaimana sebenarnya prestasi ekonomi negeri yang sedang ditadbir hari ini?

Belanjawan Terengganu hampir RM1.9 bilion setahun. Angka itu kedengaran besar dan gah tetapi apabila diperincikan, realitinya hasil dalaman negeri hanyalah sekitar RM263 juta (angka terkini dikatakan RM400 juta lebih dan menjadi rekod Sejarah sendiri katanya). Selebihnya, kira-kira RM1.7 bilion, datang daripada royalti petroleum dan geran Persekutuan. Ini bermaksud hampir 89 peratus kewangan negeri bergantung kepada dana luar. Ini bukan persepsi politik, ini matematik fiskal yang tidak boleh diputar belit.

Ya, royalti petroleum ialah hak negeri dan tiada siapa mempertikaikannya. Namun royalti bukan model ekonomi. Ia adalah komoditi dan komoditi bersifat turun naik serta mempunyai had hayat. Persoalan yang sepatutnya dijawab ialah dengan suntikan RM1.7 bilion setiap tahun, di manakah lonjakan ekonomi dalaman? Di manakah pertumbuhan hasil negeri yang benar-benar signifikan dan di manakah sektor alternatif yang mampu berdiri tanpa bergantung kepada tongkat minyak?

Jika kitaran setiap tahun kekal sama maka dana luar masuk, kerajaan berbelanja, kemudian mengulang proses yang sama pada tahun berikutnya, itu bukan transformasi ekonomi. Itu hanyalah survival berasaskan aliran tunai. Ekonomi sebenar dibina melalui kepelbagaian sektor, peningkatan produktiviti, pelaburan swasta dan pengembangan asas cukai, bukannya sekadar perbelanjaan tahunan yang selesa kerana royalti masih mengalir.

Lebih menghairankan apabila muncul hujah bahawa KDNK bukan ukuran utama dan kononnya “kebahagiaan lebih penting”. Naratif ini kedengaran indah dan idealistik tetapi realitinya pelabur tidak menilai kebahagiaan. Pelabur menilai daya saing, produktiviti, kestabilan hasil dan keupayaan fiskal. Jika indikator ekonomi asas sendiri tidak dianggap penting, tidak perlu hairan mengapa kutipan hasil dalaman terus kekal kecil.

Terengganu bukan negeri yang tiada duit. Ia antara penerima royalti petroleum terbesar di negara ini. Namun persoalan kritikal tetap tidak terjawab ialah jika dengan kelebihan dana sebesar itu pun ekonomi dalaman masih jauh ketinggalan, bagaimana model ini mahu diperluaskan ke peringkat nasional? Sebuah negara tidak boleh bergantung kepada satu sektor atau satu sumber sahaja. Negara memerlukan diversifikasi, reform struktur dan pengurusan fiskal yang jauh lebih kompleks.

Putrajaya bukan pentas ceramah. Ia adalah pusat pengurusan risiko ekonomi negara. Alasan “dianaktirikan pusat” juga sering dimainkan, namun sejarah menunjukkan negeri pembangkang lain seperti Pulau Pinang dan Selangor pernah mentadbir tanpa royalti petroleum, malah berjaya meningkatkan rizab dan mengukuhkan kebergantungan kepada hasil dalaman.

Jadi siapa menzalimi siapa? Apakah strategi konkrit untuk membina ekonomi dalaman yang mampan. Menjadi Perdana Menteri bukan soal retorik paling lantang atau naratif paling indah tetapi soal keupayaan membuktikan bahawa satu model tadbir urus benar-benar berfungsi di negeri sendiri.

Terengganu ialah ujian awal. Jika 89 peratus hasil negeri masih bergantung kepada royalti dan geran, rakyat berhak bertanya model ekonomi apa sebenarnya yang mahu dibawa ke peringkat nasional. Penyokong boleh beremosi, boleh mempertahankan dan boleh menyerang pengkritik tetapi angka tidak ada sentimen, tidak pernah taksub dan tidak pernah mengundi.

Jika benar yakin dengan kemampuan mentadbir negara, buktikan dahulu keupayaan membina ekonomi negeri yang berdikari. Sebelum mengukur Putrajaya, kukuhkan dahulu Kuala Terengganu.

Akhirnya PAS bukan lagi parti 'Negara Islam' dan Tuan Ibrahim bukan lagi pilihan utama.


Penulis: FMS

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.