Rumah Bangsa: Yang Kembali Bukan Untuk Dijulang


Ketika Presiden Ahmad Zahid Hamidi melancarkan gagasan ‘Rumah Bangsa’ pada Perhimpunan Agung Tahunan UMNO 2025, mesej yang dibawa jelas dan bersifat inklusif iaitu sesiapa sahaja dalam kalangan Bangsa Melayu dan Bumiputra yang ingin kembali samada perseorangan atau berkumpulan (NGO), pintu dibuka seluasnya..

Namun keterbukaan itu bukan lesen untuk bertindak sesuka hati. Rumah Bangsa bukan pentas untuk dielu-elukan, apatah lagi medan untuk merebut kuasa secara tergesa-gesa.

Perlu difahami bahawa setiap rumah ada tertibnya. Kemasukan ke Rumah Bangsa mesti berlandaskan adab, disiplin dan aturan yang telah lama menjadi tunjang UMNO. Ia bukan sekadar wadah penyatuan tetapi sebuah struktur yang berdiri atas perlembagaan, tradisi perjuangan dan kesetiaan ahli yang tidak pernah berpaling.

Masuk dengan tertib bermaksud patuh kepada Perlembagaan UMNO, menghormati hierarki parti dan menerima hakikat bahawa kesetiaan tidak boleh diuji dalam sekelip mata. Mereka yang ingin kembali tidak seharusnya masuk dengan tuntutan, apatah lagi dengan cita-cita untuk terus bertanding jawatan tertinggi parti. Tempoh bertenang dan khidmat atau ‘probation politik’ adalah keperluan asas dan ianya bukan untuk menyulitkan jauh sekali bukan penghinaan. Ia wujud untuk menjaga perasaan dan maruah akar umbi yang setia bertahan ketika parti ditekan, ditinggalkan dan diperkotak-katikkan.

Peraturan Rumah Bangsa ini bukan bertujuan menutup pintu, sebaliknya memastikan keharmonian dalaman UMNO terus terpelihara. Parti ini telah terlalu lama menjadi sasaran unsur yang datang dan pergi dengan agenda peribadi, meninggalkan luka dan perpecahan. Tanpa garis panduan yang tegas, Rumah Bangsa berisiko menjadi rumah tanpa dinding yang begitu mudah diceroboh, mudah perok peranda dari dalam.

‘House rules’ yang digariskan bukan bersifat memilih bulu. Ia terpakai kepada semua tanpa pengecualian, tanpa keistimewaan dan tanpa jalan pintas. Menghormati peraturan ini adalah tanda keikhlasan untuk kembali berjuang bukan sekadar menumpang kekuatan parti yang masih menjadi tunjang politik negara.

Sebuah rumah tanpa undang-undang tidak akan membawa kesejahteraan. Bahkan kandang haiwan peliharaan pun punya peraturan, apatah lagi sebuah rumah politik yang melahirkan pemimpin negara. Tanpa disiplin, UMNO akan berada dalam keadaan rapuh umpama telur di hujung tanduk.

Rumah Bangsa bukan tempat 'cari makan', bukan juga tempat mengangkat mereka yang pernah meninggalkan perjuangan. Ia adalah rumah perjuangan yang menuntut kesetiaan, kesabaran dan keikhlasan. Yang kembali dialu-alukan tetapi bukan untuk dijulang. Yang dihormati hanyalah mereka yang sanggup patuh, berkhidmat dan membuktikan kesetiaan dan bukan dengan kata-kata tetapi dengan masa dan pengorbanan.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.